NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes Najib akan didengar hakim baharu


KUALA LUMPUR: Sebutan semula kes pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 8 Ogos ini akan didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi yang baharu.

Ia berikutan, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Abd Razak, yang sebelum ini mendengar kes itu akan ditukarkan ke Mahkamah Tinggi Sivil 10 bermula 1 Ogos ini.

Difahamkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan menggantikan tempat Mohd Sofian di Mahkamah Tinggi Jenayah 3.

Menurut sumber mahkamah, surat pertukaran terbabit keluar pada minggu ini dan ia adalah pertukaran rutin.

Sementara itu, sumber lain mengesahkan bahawa surat pertukaran sudah ditandatangani oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Media bagaimanapun gagal mendapatkan komen daripada Mohd Sofian.

Kontroversi timbul selepas Mohd Sofian digesa menarik diri daripada mendengar kes itu berikutan beliau adalah adik kepada ahli EXCO Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta daripada UMNO, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese, berkata Mohd Sofian sepatutnya mendedahkan pertaliannya dan kedudukan abangnya dalam UMNO dan kerajaan Pahang kepada pihak pendakwaan serta pembelaan sebelum pendengaran berikutan Najib adalah bekas Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Kes itu akan disebut semula pada 8 Ogos ini untuk pendengaran permohonan rasmi Ahli Parlimen Pekan itu untuk menghalang media daripada menyiarkan perbincangan umum berkaitan merit kes itu serta menetapkan tarikh perbicaraan.

Pada 4 Julai lalu, Najib, 65, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, antara lain melakukan pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta, membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di sini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo