NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Kerajaan perlu tumpu lebih hal rakyat, jangan fokus skandal 1MDB saja’




Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 21 Syawal 1439H, Khamis – Kerajaan diingatkan supaya tidak terlalu sibuk menguruskan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga mengabaikan tugas asas dan fokus utama mereka terhadap kebajikan rakyat, sebagaimana yang dijanjikan dalam manifesto sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, peralihan kuasa kepada pemerintahan baharu negara pastinya membawa sinar buat rakyat yang mengharapkan janji ditabur Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dilaksanakan.
Beliau berkata, setelah lebih 60 hari kerajaan PH memegang tampuk pemerintahan negara, masih banyak janji dalam manifesto parti itu tidak dilaksanakan, malah wujud beberapa dasar yang diumumkan menimbulkan banyak kebimbangan berbanding harapan.
"Cadangan untuk memberikan kerakyatan kepada 200,000 orang, cadangan untuk mengiktiraf konvensyen hak asasi manusia adalah antara isu-isu yang mencemaskan negara kerana ia semua membawa implikasi besar kepada kedaulatan Malaysia.

"Isu agama Islam juga tidak terlepas daripada kecaman dan penghinaan NGO liberal dan pro-Barat. Ini termasuk cadangan pengiktirafan sijil UEC oleh kerajaan Melaka yang akan menyebabkan polarisasi kaum yang lebih teruk.
"Begitu juga penolakan penggunaan bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi, pasti akan menimbulkan lagi pergolakan dalam masyarakat," katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata, sehingga ke hari ini, isu berkaitan kes 1MDB dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal mendominasi akhbar-akhbar utama negara.
Walaupun usaha kerajaan menyiasat skandal dan bekas pemimpin negara itu dialu-alukan rakyat, namun katanya, ia bukan bermakna janji yang terkandung dalam manifesto PH perlu diketepikan.
"Rakyat secara keseluruhannya masih terpaksa menghadapi bebanan hidup dengan harga barangan yang masih tidak turun walaupun GST sudah sifar peratus.
"Penurunan indeks Bursa menyebabkan ramai pihak mengalami kerugian berjuta, malah berbilion ringgit. Jadi, rakyat meminta kerajaan dan menteri untuk segera menangani isu-isu utama ini bagi mengekalkan kesejahteraan negara," katanya.

https://www.ismaweb.net/2018/07/05/kerajaan-perlu-tumpu-lebih-hal-rakyat-jangan-fokus-skandal-1mdb-saja/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo