NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keputusan ADUN Kedah Direstui - Zahid


Oleh Haspaizi Mohd Zain

Keputusan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kedah menyokong calon Speaker DUN Pakatan Harapan (PH) mendapat restu parti, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, keputusan ADUN itu dibuat selepas melalui perbincangan dengan badan perhubungan UMNO negeri itu.

“Saya amat hormati keputusan tiga ADUN, ambil keputusan yang telah dibincangkan pada peringkat badan perhubungan UMNO Kedah dan direstui.

“Keputusan itu dibuat parti,” katanya ketika sidang media di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur pada Rabu.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Khaled Nordin.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan merakamkan ucapan terima kasih kepada ADUN BN yang menyokong calon Speaker dikemukakan PH.

Sementara itu mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis yang kosong akibat kematian penyandangnya, Ahmad Zahid berkata perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).

Katanya, keputusan sama ada UMNO akan menyertai PRK itu ataupun tidak akan ditentukan kemudian.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan yang beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin pembangkang yang lain berhubung jawatan Ketua Pembangkang.

Menurutnya secara dasarnya jawatan itu dipegang presiden parti pembangkang yang menang paling banyak kerusi.




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo