NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kelantan: Laluan RUU355 makin sukar - Pemuda Umno


Pemuda Umno Kelantan menyifatkan usaha PAS untuk mengangkat Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355) semakin sukar di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ketuanya, Nor Hariri Mohamed berkata, berbanding ketika kerajaan di bawah pentadbiran BN, situasi sekarang dilihat "hampir mustahil" untuk PAS menjayakan agenda tersebut.

Menurutnya, dengan pelantikan bukan Islam sebagai peguam negara, ketua hakim negara dan menteri di Jabatan Perdana Menteri yang berurusan dengan hal undang-undang memperlihatkan peluang untuk RUU355 dibahaskan di Parlimen semakin tipis.

"Kalau dilihat daripada aspek itu jalannya amat tipis, bagaimanapun lebih baik kita cuba. Sekurang-kurangnya ada perkara yang kita boleh bangkitkan.

"Ketika BN memerintah, RUU355 tak berdepan halangan, bahkan kita menyokong dan diberi laluan untuk dibentangkan," katanya pada sidang media di Kota Bharu selepas mempengerusikan mesyuarat exco Pemuda Umno Kelantan, hari ini.

Sebelum ini, pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara, Tan Sri Richard Malanjum (ketua hakim negara), Datuk Liew Vui Keong (menteri undang-undang) yang didakwa menimbulkan kegusaran di kalangan umat Islam di negara ini.

Terdahulu, isu RUU355 tercetus di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini apabila Ketua Pembangkang, Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) menggesa PAS supaya menguji pendirian dan sikap Dr Mahathir berhubung pelaksanaan RUU355.

Sementara itu, Nor Hariri berkata, pembangkang sekarang tidak boleh berputus asa untuk meneruskan usaha tersebut dan rakyat boleh melihat sendiri pendirian pihak kerajaan pusat hari ini.

"Kalau dulu orang kata Umno yang mempolitikkan hal ini, kita tak boleh putus asa. Kita tengok apa tindakan pihak kerajaan sekarang, (dulu) mereka yang menentang perkara ini," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo