NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedah: Sedia kemudahan Ketua Pembangkang DUN


KUBANG PASU 24 Jun - Pelbagai kemudahan akan disediakan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) selain memberikan tanggungjawab dalam bidang tertentu sebagai mengiktiraf hubungan baik dengan pembangkang di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bentuk kemudahan tersebut masih belum diputuskan dan akan dimaklumkan kepada Ketua Pembangkang negeri yang baru dilantik, Muhammad Sanusi Md. Nor selepas selesai dimuktamadkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ming­gu ini.

"Sebenarnya kita menunggu siapa akan jadi ketua pembangkang dan sebelum ini pun, saya pernah jumpa dengan Muhammad Sanusi tapi waktu itu PAS belum putuskan lagi siapa yang akan dilantik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Rumah Terbuka Pakatan Harapan (PH) di Dataran Darul Aman di sini, malam tadi.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil seiring dengan langkah yang dilakukan kerajaan Pusat dipimpin PH yang mana peruntukan turut diberikan kepada ahli Parlimen pembangkang.

"Oleh itu, kita juga akan beri kemudahan bukan setakat pejabat tetapi juga tanggungjawab tambahan yang akan diserahkan kepada ketua pembangkang dan selepas ini kerajaan negeri akan ber­urusan dengan beliau (Muhammad Sanusi)," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PH negeri memberitahu, dalam usaha mengamalkan politik matang, pihaknya juga mempunyai pelbagai perancangan lain untuk mengiktiraf dan menunjukkan keprihatinan terhadap pembangkang selain tidak mengamalkan cara politik kerajaan terdahulu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo