NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kajian dapati 70% orang Melayu puas hati dengan kerajaan baharu


Kajian dapati 70% orang Melayu puas hati dengan kerajaan baharu Bede Hong SATU tinjauan seluruh negara mendapati 70% orang Melayu berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu. 

Firma penyelidikan bebas, Oppotus Research Group menjalankan tinjauan secara bersemuka antara 22 Jun hingga 26 Jun dengan sampel wakil 1,035 orang Melayu. Mengenai prestasi kerajaan baru, 56% responden berkata mereka berpuas hati, sangat berpuas hati (14%), tidak berpuas hati (27%) dan sangat tidak berpuas hati (3%). Undian juga mendapati 51% responden tidak menyokong Umno, berbanding 44% yang menyokong, manakala 5% enggan mengulas. 

Hampir semua iaitu 95% responden menyatakan mereka mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei. Daripada jumlah tersebut, 77% tinggal di kawasan bandar manakala selebihnya dari kawasan luar bandar. Mengenai parti yang diundi dalam PRU14, 40% berkata mereka mengundi Barisan Nasional (BN), PH (34%) dan calon bebas (13%). Baki 13% lagi pula enggan mengulas. 

Tinjauan ini bertujuan mengukur sentimen orang ramai pada PRU14 dan pemilihan parti Umno hari ini. Margin kesilapan dianggarkan pada kadar 3.10%. Umno memenangi 54 daripada 79 kerusi BN di Parlimen. 

PH memenangi 122 daripada 222 kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan tetapi semua parti komponennya kurang berbanding jumlah dimenangi Umno. PH memperoleh 47.88% undi popular dalam PRU14, termasuk daripada kerusi yang diperoleh melalui sekutu di Sabah, Parti Warisan Sabah. Bahagian undi popular BN adalah 33.8%, manakala PAS, melalui Gagasan Sejahtera, mengambil 17%. 

Ini menjadikan gabungan bahagian undi popular mereka pada kadar 50.8%, lebih tinggi daripada PH. Menurut data Merdeka Center yang dikeluarkan dua minggu lalu, hanya 25% hingga 30% orang Melayu mengundi PH, BN (35-40%) dan PAS (30-33%). 

Laporan itu berkata meskipun peratusan orang Melayu mengundi PH di Johor dan negeri-negeri pantai barat seperti Melaka dan Negeri Sembilan lebih tinggi, sokongan keseluruhan orang Melayu terhadap PH menurun disebabkan prestasi lemah di Kelantan dan Terengganu. 

Laporan itu memberi amaran yang perpecahan dalam undi Melayu akan memberi implikasi besar dalam PRU masa depan memandangkan PH, BN dan PAS berusaha untuk mendapatkan sokongan mereka. 

Pengurus Penyelidik Tan Seng Keat berkata walaupun ramai penyokong tradisi BN tidak gembira dengan bekas perdana menteri Najib Razak dan cukai barangan dan perkhidmatan, mereka juga tidak mempercayai PH. 

“Indoktrinasi propaganda sepanjang tahun ini tidak dapat berubah dalam beberapa hari berkempen, walaupun dengan Dr Mahathir Mohamad ada. 

“Bagi mereka, Umno adalah parti Melayu, parti Islam. Mereka berasa selamat,” kata Tan yang dipetik oleh The Straits Times baru-baru ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo