NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jepun Sedia Masjid Bergerak Untuk Olimpik


UNIK… Menjelang Sukan Olimpik 2020 di Jepun, negara maju di Asia itu selaku tuan rumah dilihat melakukan persiapan serius bagi menjayakan pe­nganjuran sukan berprestij tersebut.

Dihadiri ribuan atlet termasuk pe­ngunjung daripada pelbagai latar belakang, Jepun tidak lupa memikirkan para atlet Muslim daripada puluhan negara Islam dengan mempersiapkan sebuah ‘masjid bergerak’.

Sesuai dengan namanya sendiri, masjid tersebut mampu digerakkan ke kawasan yang tiada kemudahan solat sekali gus mempermudahkan atlet termasuk pengunjung ber­agama Islam untuk menunaikan solat.

Berdasarkan status akaun Facebook Fukuoka Al Nour Islamic Center, masjid bergerak dengan menggunakan lori seberat 25 tan itu mampu memuatkan sehingga 50 orang jemaah pada satu-satu masa.

Masjid berkenaan sebenarnya sudah digunakan buat pertama kali setelah dilancarkan secara rasmi dalam satu acara ditaja khas oleh Pejabat Kabinet Jepun di Stadium Toyota di wilayah Aichi pada 23 Julai lalu.

Kemudahan unik itu dikendalikan oleh Yasu Project Co. Ltd. beroperasi daripada sebuah trak dan dilengkapi dengan kemudahan seperti tempat pengambilan wuduk serta dewan solat yang selesa.

Dua tahun lalu, Pegawai Eksekutif Korporat Yasu Project, Junya Imamura pernah melawat Masjid Fukuoka bagi membincangkan dan bertanyakan pendapat tentang pembinaan masjid bergerak dari sudut Islam.

“Kami amat hargai peluang bagi menyumbang kepada projek yang penting ini,” katanya. Ketika ini dianggarkan terdapat lebih 200,000 orang Islam di Jepun, namun kebanyakannya pendatang asing.

Tambah Imamura, ketika jumlah umat Islam tempatan di Jepun sendiri mening­kat, adalah menjadi satu ke­perluan untuk memperluaskan hospitaliti kepada mereka yang berhasrat untuk beribadat.

Sementara itu, masjid bergerak tersebut bertepatan dengan hasrat Jepun sebagai tuan rumah temasya Olimpik Tokyo 2020 menyediakan pelbagai kemudahan khasnya untuk Muslim. – Agensi/Mynewshub.TV

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo