NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Iktiraf UEC sumbang pemisahan ideologi, cara hidup rakyat Malaysia



BANGI, 24 Syawal 1439H, Ahad – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) menggesa pemerintah, khususnya kerajaan Melaka supaya menarik balik pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC), sebagai syarat kelayakan memasuki perkhidmatan awam di negeri itu.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata, I-Guru turut melahirkan rasa bimbang dengan usaha pihak tertentu untuk mendapatkan pengiktirafan UEC, kerana ia akan terus melebarkan usaha integrasi dan perpaduan di Malaysia.

Beliau berkata, I-Guru juga berasa sangsi dengan kesediaan kerajaan negeri Melaka mengambil penjawat awam lulusan UEC, yang hanya mahu peperiksaan Bahasa Melayu sahaja diwajibkan sebagai syarat pengiktirafan.

"Bahkan kurikulumnya berkiblatkan negara Cina dan Taiwan serta mengekalkan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.

"I-Guru berpandangan, pengiktirafan UEC dengan syarat sebegini hanya akan meneruskan dua aliran pendidikan yang berbeza dan seterusnya menyumbang kepada pemisahan ideologi, cara hidup dan pergaulan dikalangan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Azizee turut menzahirkan rasa bimbang terhadap kerapuhan jati diri pelajar yang lahir daripada kurikulum berkiblatkan negara lain.

Beliau mempersoalkan bagaimana semangat patriotisme dapat disemai tanpa bersandar kepada kurikulum nasional sebagai teras pendidikan dan pembinaan jati diri.

Justeru beliau berkata, I-Guru menggesa supaya kerajaan negeri yang kini diperintah Pakatan Harapan bersikap lebih tegas menolak usaha untuk menghalang perpaduan.

"Kerajaan PH seharusnya mengenepikan perbezaan politik dalam menangani isu ini sekiranya benar-benar komited untuk merealisasikan hasrat perpaduan, pembinaan negara bangsa dan gagasan kemalaysian.

"Pendidikan sangat penting untuk mewujudkan perpaduan, semangat patriotisme serta menjamin kestabilan negara. Hala tuju negara dipupuk dan ditentukan melalui pendidikan. Maka kurikulumnya mestilah berasaskan falsafah pendidikan kebangsaan dan dalam kerangka mendaulat bahasa kebangsaan," katanya.

Minggu lalu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, mengumumkan pengiktirafan UEC sebagai syarat kelayakan memasuki perkhidmatan awam negeri itu sebagai memenuhi sebahagian janji Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Namun, pengumuman itu mendapat kecaman pelbagai pihak, berikutan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan merendahkan martabat Bahasa Melayu.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo