NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hidang babi: Hormati sensitiviti Islam


NEGARA ini sangat rapuh hubungan antara kaum malah mempunyai sejarah panjang pergeseran antara kaum akibat penjajah yang mengelompokkan sesuatu kaum berdasarkan wilayah dan pekerjaan. Pergaduhan kaum pasca Perang Dunia Kedua, juga tragedi 13 Mei 1969 adalah akibat hilang sikap toleransi antara kaum sehingga mengorbankan nyawa.

Sikap menghormati antara kaum adalah kunci kedamaian tanah air ini, malangnya mutakhir ini isu-isu perkauman mula mengambil ruang akibat keterujaan dengan mandraguna kuasa .

Tindakan penganjur Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong, di Melaka malam kelmarin menghidangkan sajian babi kepada Wartawan Islam dan Hindu sebagai keterlaluan walaupun mereka menganggap ia sebagai kesilapan.

Kealpaan pihak penganjur dalam hal ini sukar diterima kerana ia melibatkan perkara sensitif khususnya dalam soal makanan terhadap umat Islam dan penganut Hindu.

Penganjur sengaja mengundang kemarahan masyarakat dengan sajian yang tidak halal untuk penganut beragama Islam dan Hindu. Apatah lagi yang menerima layanan seperti itu adalah wartawan beragama Islam.

Oleh itu, layanan yang mereka terima malam itu melayakkan pihak penganjur pula menerima 'layanan peringkat atasan' dalam media dan mereka wajib menjawab segala kritikan dan kemarahan masyarakat. Isu di majlis tersebut mungkin akan berterusan dalam media buat beberapa hari atas kesilapan mereka sendiri.

Walaupun disebut ada lima buah meja untuk makanan halal, lima lagi meja makanan vegetarian dan selebihnya 50 meja menghidangkan makanan tidak halal, namun jika umat Islam atau penganut Hindu yang hadir serta melihat sajian yang dihidangkan secara keseluruhannya, tekak mana yang mampu menelan makanan yang dihidangkan?

Dengan aneka bau dan rasa, penglihatan dan deria sukar buat tetamu menjamu makanan walaupun di meja yang halal kerana terbayangkan sajian lain yang meloyakan.

Sepatutnya dalam majlis umum seperti itu, pihak penganjur tidak menyediakan hidangan yang begitu sensitif khususnya daging babi. Walaupun jumlah hadirin dikatakan 90 peratus bukan Islam serta pelabur dari luar negara, namun apabila melibatkan majlis rasmi di dalam negara yang melibatkan orang kenamaan, majlis bersifat terbuka dan ada segelintir pihak yang diundang melibatkan golongan beragama Islam atau penganut agama lain, pihak penganjur perlu menghormati kehadiran mereka.

Sebaiknya daging babi, persembahan melampau melibatkan wanita atau botol arak tidak dihidangkan langsung dalam majlis kerana ia mengundang persepsi tidak baik.

Melainkan jika ia dibuat tertutup dan kehadirannya disahkan seratus peratus bukan Islam (bangsa Cina), maka menghidangkan daging babi dibenarkan kerana selain kaum Tionghoa ada juga penganut agama lain yang tidak makan daging babi.

Sensitiviti mereka perlu dijaga kerana protokol dalam majlis rasmi dan besar seperti itu amat penting bagi mengelakkan tanggapan buruk dalam masyarakat.

Atas tindakan tidak sengaja pihak penganjur itu, Negeri Melaka turut terpalit dengan pandangan serong serta kemarahan masyarakat terutama umat Islam. Ketua Menteri Melaka mesti menjernihkan keadaan dan menjamin agar tidak ada majlis seumpama itu lagi berlaku di Melaka.

Justeru, apa juga majlis yang mendapat liputan media, melibatkan pemimpin negara, dan undangan yang bercampur antara penganut agama dan bangsa, pastikan pihak penganjur meraikan budaya dan sensitiviti mereka dalam soal pemakaian, penganjuran dan pemakanan.

Dr Riduan Mohamad Nor ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo