NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Harga Barang Pengguna Bakal Naik Lagi – C


Harga barang di pasaran dijangka meningkat lebih tinggi lagi berikutan kenaikan tarif elektrik pengguna komersial, sekali gus menjejaskan golongan berpendapatan rendah.

Ia sekali gus menggambarkan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bukan sahaja terpaksa berdalih sebab gagal tunai janji manifesto mereka sendiri, malah membuktikan pentadbiran baharu adalah jauh lebih teruk.

Berita buruk itu didedahkan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman kepada sebuah akhbar tempatan sebagai mengulas kesan kenaikan kadar elektrik mulai 1 Julai.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun peningkatan tarif elektrik berkenaan hanya membabitkan sektor komersial tetapi timbul kebimbangan pengilang dan peniaga mungkin bakal meletakkan kos berkenaan kepada pengguna.

Mohd. Yusof berkata, ada segelintir pihak yang sentiasa mahu mengambil peluang dengan sengaja menaikkan harga barangan jualan masing-masing apabila berlakunya aliran peningkatan kadar caj bahan api, elektrik dan air.

"Kita juga kena melihat perkara ini secara lebih luas iaitu dengan mengadakan siri perbincangan dengan pihak yang berkepentingan supaya pengguna miskin tidak terbeban berikutan peningkatan harga barangan runcit di pasaran.

"Namun jika lihat kepada keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, adalah lebih baik perkara sebegini dapat dielakkan kerana kos sara hidup rakyat pasti meningkat terutama di kawasan bandar besar," kata Mohd. Yusof.

Untuk rekod, kerajaan PH menjanjikan konon harga barang akan jatuh apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diturunkan kepada kadar sifar peratus mulai 1 Jun lalu, namun apa yang berlaku pula adalah sebaliknya.

Indeks Harga Pengguna yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini melaporkan harga barang terus naik dan ia dijangka meningkat setelah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 September.

Sementara itu, Setiausaha Usahawan Digital Selangor, Mohd. Adzim Rahman berkata, peniaga yang bergantung kepada elektrik untuk jana pendapatan kemungkinan besar akan terkesan dengan kenaikan tarif elektrik berkenaan.

"Industri elektronik atau sektor yang membabitkan penggunaan jentera pasti terkesan dengan peningkatan tarif itu, sekali gus meningkatan kos operasi mereka dan akhirnya harga barang pun naik," katanya kepada sebuah akhbar.

Ia berikutan peningkatan kos sebanyak 1.35 sen/kWj, dan kerajaan PH memutuskan kos itu pula dilepaskan dalam bentuk surcaj, kos tidak berimbang (ICPT) kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung Malaysia.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa kerajaan turut menetapkan caj ICPT itu hanya dikecualikan kepada semua pengguna domestik bagi tempoh dari 1 Julai hingga 31 Disember depan.

Pelarasan ICPT ini jelas ST tidak membabitkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik kurang daripada 300 kWj dan jika lebih, mereka akan mengalami penurunan atau kenaikan yang minimum dalam bil elektrik.

"Ini dianggarkan antara RM0.09 dan RM4.89 sebulan, dengan mengambil kira pelaksanaan kadar 0 peratus GST yang bermula 1 Jun lalu," kata suruhanjaya tersebut dalam kenyataan berkenaan di Putrajaya. – Mynewshub.tv

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo