HARAPAN perlu hormat manifesto walau bukan kitab suci



Oleh: Syukri Razab

Rakyat semestinya bersyukur dan mengalu-alukan beberapa janji yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) seperti pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan yang terbaru adalah janji untuk memberi penangguhan bayaran balik PTPTN bagi peminjam yang bergaji bawah 4,000 seperti yang diumumkan PTPTN semalam.

Hari ini genap 70 hari HARAPAN telah mengambil alih pentadbiran Malaysia. Berbaki lebih kurang 30 hari lagi untuk kerajaan baru ini melaksanakan janji 100 hari yang dinyatakan dalam manifesto sebelum ini.

Semalam media melaporkan kenyataan perdana menteri yang mengatakan manifesto bukan kitab suci. Kenyataan ini dipercayai dibuat Tun Dr Mahatahir Mohamad bagi menjawab isu pelantikan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat yang dilantik bukan daripada kalangan ahli parlimen seperti yang dijanjikan dalam manifesto.


Saya khuatir Jawapan seperti ini akan membuka ruang kepada lebih banyak pusingan-U terhadap manifesto. Tambah membimbangkan apabila simptom pusingan-U sudah pun terjadi.

Sebagai contoh, HARAPAN sebelum ini berjanji akan memansuhkan Biro Tatanegara (BTN), namun baru-baru ini BTN dikatakan akan dikekalkan dengan perubahan tertentu pada pengisiannya.


Setelah BTN yang perkasakan oleh Dr Mahathir pada tahun 1982 tidak jadi dimansuhkan, mungkinkah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang juga telah diperkasakan oleh Dr Mahathir pada tahun 1974 juga akan mengalami nasib yang sama?

Tindakan ini seolah-olah menggambarkan manifesto yang dibuat sebelum pilihan raya dahulu tidak dibina atas asas yang benar-benar kukuh. Walhal kita semua maklum manifesto itu adalah natijah daripada pungutan suara rakyat hasil daripada berpuluh tahun perjuangan pakatan pembangkang sebelum ini.

Saya kira walaupun manifesto bukan kitab suci, namun dokumen tersebut perlu dimuliakan sebagai janji-janji yang telah membuka laluan untuk HARAPAN berjaya seperti hari ini. Justeru pemimpin HARAPAN perlu memiliki tekad dan iltizam untuk melaksanakan semua manifesto tersebut.


Jika benar-benar terdapat keperluan untuk meminda sesuatu janji, hal tersebut mestilah dibuat dengan memuliakan suara rakyat mengikut kaedah pungutan suara atau referendum. Kerajaan HARAPAN perlu tegas dalam memulakan precedent yang baru bagi mewujudan era pemerintahan yang baru.

Hal ini penting supaya rakyat memahami bahawa kerajaan hari ini tidak akan senang-senang untuk mengubah janji. Sikap meremehkan janji dan membelakangkan rakyat seperti yang diamalkan BN sebelum ini perlu ditamatkan secara total.


Syukri Razab merupakan setiausaha pengelola Angkatan Muda Keadilan Malaysia merangkap pengarah Strategi Pemuda Harapan Malaysia.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget