NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hanipa kini sedar dan stabil - Pegawai Media

Sumber Gambar: Berita Harian
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mohamed Hanipa Maidin yang pengsan pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga JPM pagi tadi, telah sedar dan berada dalam keadaan stabil.

Pegawai medianya Anas As-Said Zaharuddin ketika dihubungi Bernama berkata Mohamed Hanipa, 49, masih menjalani rawatan di Hospital Putrajaya.

"Doktor masih membuat pemeriksaan mengenai punca beliau rebah. Saya akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa," katanya.

Anas As-Said turut memohon kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi berkenaan keadaan kesihatan Mohamed Hanipa.

Dalam kejadian pada kira-kira 8.40 pagi tadi, keadaan bertukar kecoh ketika Tun Dr Mahathihr sedang berucap apabila Mohamed Hanipa yang berdiri paling kanan dalam barisan menteri dan timbalan menteri JPM, tiba-tiba jatuh daripada pentas.

Ahli Parlimen Sepang itu terus diberikan rawatan kecemasan oleh anggota paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mohamed Hanipa yang bertanggungjawab dalam undang-undang adalah antara tiga Timbalan Menteri di JPM yang baharu mengangkat sumpah pada 2 Julai lalu.

Pada 4 April 2016, Mohamed Hanipa pernah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila didapati pengsan ketika persidangan Dewan Rakyat.

Menurut laporan media, Mohamed Hanipa menjalani pembedahan selepas kejadian itu berikutan pendarahan otak akibat tekanan darah tinggi. - Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo