NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GST atau SST, rakyat tetap mangsa



1. Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan atas komitmen untuk memansuhkan GST yang diawali dengan menjadikan cukai itu berkadar sifar. Ia selari dengan tuntutan PAS sejak awal cukai itu diperkenalkan pada 2015 lagi.

2. Namun, tindakan seterusnya untuk menggantikan cukai itu dengan memperkenalkan semula SST adalah tindakan terkebelakang dan memperlihatkan Kerajaan ketandusan idea kerana hanya tahu bergantung kepada cukai kepenggunaan bagi menambah hasil pendapatan negara.

3. Kedua-dua cukai kepenggunaan ini; GST dan SST sekalipun berbeza pada aspek teori dan mekanismenya, ia tetap sama pada aspek menjadikan pengguna sebagai penanggung beban. Ia juga akhirnya tetap menjadi alasan untuk menaikkan harga barangan oleh para peniaga. 

4. Sedangkan masih terdapat alternatif lain bagi mengelakkan rakyat dikenakan cukai ini sesuai dengan komitmen Kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat yang sedia tinggi dan semakin meningkat pada masa ini.

5. Cukai yang mahu dilaksanakan menggantikan GST sepatutnya berdasarkan model zakat dalam Islam. Justeru itu, PAS telah mencadangkan Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Pegangan Saham berasaskan model zakat. 

6. Cukai yang berasaskan model zakat ini adalah cukai berasaskan lebihan pendapatan dan bertujuan memastikan sumber atau hasil kekayaan diagih secara adil dan saksama terutamanya kepada golongan yang memerlukan. Berbeza sekali dengan cukai kepenggunaan yang menjadikan pengguna tanpa mengambilkira tahap kemampuan mereka sebagai penanggung beban.

7. Kedua-dua cukai yang dicadangkan PAS ini sekalipun kadarnya lebih rendah iaitu hanya 2.5% sahaja, ia diunjurkan menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi berbanding GST dan SST. 

8. Sekali lagi saya tegaskan, dalam menjadikan cukai sebagai sumber pendapatan negara, cukai pendapatan juga perlu diformulasi semula berasaskan model zakat agar tiada yang dapat berhelah mengelakkan diri dari cukai. Duti import perlu diperkasakan sistemnya. SST dan GST hanya menjadi beban kepada rakyat marhaen. Lebih utama yang perlu dipastikan ialah pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak lagi berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup di era Malaysia Baharu ini.

9. Jika BN dijatuhkan akibat isu GST dan peningkatan kos sara hidup, tidak mustahil PH juga mungkin akan ditumbangkan oleh rakyat disebabkan isu SST dan kos sara hidup ini.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo