DAP Tetap Kuasai Portfolio Strategik Kabinet


DOMINASI… Majlis angkat sumpah Kabinet baharu di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini terus menyaksikan kejutan apabila DAP kekal kuasai pelbagai portfolio strategik Kerajaan Malaysia.

Meskipun PKR dicanang jentera maya Pakatan Harapan (PH) konon memiliki wakil teramai dalam Kabinet dengan tujuh orang Menteri dan tujuh Timbalan Menteri, hakikatnya askar siber blok itu sedar isunya bukan soal kuantiti.

Namun isu kualiti yang ditonjolkan PH memperlihatkan gabungan politik aneh itu sebenarnya memang jelas dikuasai DAP dengan enam Menteri dan enam Timbalan Menteri melibatkan kementerian-kementerian penting.

Terbaharu, Teresa Kok Suh Sim dan Yeo Bee Yin menyertai Lim Guan Eng (Kewangan), Anthony Loke Siew Fook (Pengangkutan), M. Kulasegaran (Sumber Manusia) dan Gobind Singh Deo (Komunikasi dan Multimedia).


Ahli Parlimen Seputeh di ibu kota itu dilantik sebagai Menteri Industri Utama manakala Ahli Parlimen Bakri di Johor tersebut dilantik sebagai Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Sebelum itu, Suh Sim dilapor sebuah portal berita pro-PH konon bakal isi portfolio Wilayah Persekutuan sementara Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang pernah celupar hina Tun Mahathir Mohamad, tiada dalam senarai.

Dalam pada itu, enam wakil DAP pula dilantik sebagai Timbalan Menteri iaitu Chong Chieng Jen (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Air, Tanah dan Sumber Asli).

Juga tidak ketinggalan Hannah Yeoh (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Steven Sim Chee Keong (Belia dan Sukan), Dr. Ong Kian Ming (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Teo Nie Ching (Pendidikan).

Meskipun raih bilangan kedua paling ramai, DAP jelas tidak berpuas hati apabila Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengkritik Mahathir selaku Perdana Menteri kerana enggan mengikut senarai calon menteri dicadangkan parti itu.

Ketuanya, Wong Kah Woh, berkata tindakan Pengerusi PH itu disifatkan tidak hormati cadangan DAP mahu Chieng Jen selaku Pengerusi DAP Sarawak dan Kor Ming sebagai Pengerusi DAP Perak untuk jadi menteri tetapi ditolak.

DAP menang 42 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bulan lalu berbanding komposisi parti lain dalam Kerajaan PH ketika ini iaitu PKR (50), PPBM (13), PAN (11) dan Parti Warisan Sabah pula hanya lapan kerusi.

Tuntutan DAPSY itu jelas menggambarkan perasaan tidak puas hati sayap pemuda parti berlogo roket tersebut yang kecewa apabila Mahathir enggan tunduk pada cadangan awal dan meletakkan DAP kurang kerusi berbanding PKR.

Setakat ini PKR memiliki ramai menteri iaitu Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Saifuddin Abdullah, Baru Bian dan Xavier Jayakumar selain Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Saifuddin Nasution pegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Xavier (Air, Tanah dan Sumber Asli), Baru dan Saifuddin masing-masing dilantik sebagai Menteri Kerja Raya dan Menteri Luar Negeri.

Sementara itu, Timbalan Menteri daripada kalangan PKR ialah Shamsul Iskandar Md. Akin (Industri Utama), Sim Tze Tzin (Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Fuziah Salleh (Jabatan Perdana Menteri – Agama).

Juga tidak ketinggalan ialah R. Sivarasa (Pembangunan Luar Bandar), Dr. Lee Boon Chye (Kesihatan), Bakhtiar Wan Chik (Pelancongan, Seni dan Budaya) dan Datuk Kamarudin Jaffar (Pengangkutan).

Dalam pada itu, dua lagi komponen PH iaitu Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masing-masing mempunyai lima Menteri dan empat Timbalan Menteri dalam Kabinet Baharu Malaysia.

Dari PAN, Khalid Samad (Wilayah) dan Datuk Dr Mujahid Yusof (Jabatan Perdana Menteri – Agama) menyertai Presidennya, Mohamad Sabu (Pertahanan) dan Salahuddin Ayub (Pertanian) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kesihatan).

Timbalan Menteri daripada PAN ialah, Anuar Tahir (Kerja Raya), Datuk Mahfuz Omar (Sumber Manusia), Dr. Mohd. Hatta Ramli (Pembangunan Usahawan) dan Hanipa Maidin (Jabatan Perdana Menteri – Undang-Undang).

Bagi PPBM pula, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Mohd. Redzuan Yusof menyertai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Dalam Negeri), Dr. Maszlee Malik (Pendidikan) dan Rina Harun (Pembangunan Luar Bandar).

Syed Saddiq dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan sekali gus muncul menteri paling muda dalam sejarah Malaysia iaitu berusia 25 tahun, manakala Mohd Redzuan dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan.

Timbalan Menteri pula Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh (Wilayah), Dr. Md. Farid Md. Rafik (Jabatan Perdana Menteri – Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Datuk Amiruddin Hamzah (Kewangan) dan Eddin Syazlee Shith (Komunikasi dan Multimedia).

Baki tiga Menteri dan dua Timbalan Menteri lagi diisi oleh wakil dari Parti Warisan Sabah.

Mereka ialah Darell Leiking (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Liew Vui Keong (Jabatan Perdana Menteri – Undang-Undang) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Pelancongan, Seni dan Budaya).

Dua wakil Warisan yang menjadi Timbalan Menteri ialah Datuk Aziz Jamman (Dalam Negeri) dan Isnaraissah Munirah Majlis (Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar). – Mynewshub.tv

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget