Baitulmuqaddis! Apa Reaksi Kita?


Ismail Ibrahim

RAKYAT Palestin menunjukkan keberanian luar biasa menentang kezaliman Israel walaupun sekadar bersenjatakan batu terutama sejak perisytiharan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota rejim itu pada 6 Disember 2017. AFP 

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump telah melakar satu sejarah ter­sendiri yang ­belum pernah dilakukan oleh mana-mana ketua negara itu sebelumnya apabila dengan penuh berani dan angkuh mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel pada 6 Disember 2017. Dengan itu beliau memecahkan keputusan antarabangsa yang ­telah diakui selama berdekad-dekad lamanya tentang kedudukan kota ini bagi negara Palestin.

Gagasan untuk menempatkan negara Yahudi antarabangsa di kota suci Jerusalem atau Baitulmuqaddis ini, sebenarnya kembali ke tahun 1896 ketika gerakan Zio­nisme antarabangsa menyasarkan Baitulmuqaddis yang bakal menjadi ibu kota gerakan Zionis itu. 

Namun gerakan zionisme ini sebenarnya mempunyai objektif yang bercampur-aduk antara dasar sekular dan keagamaan. Malah, dasar ekonomi dan politik yang amat liar dan keji seperti yang diterangkan dalam kajian dan penyelidikan yang dilakukan terhadap gerakan ini.

Telah terbukti dengan nyata bahawa semenjak perisytiharan 6 Disember 2017 itu, pihak rejim Israel telah mengambil banyak langkah menindas dan menzalimi rakyat Palestin dan melakukan beberapa dasar di luar batas-batas perikemanusiaan terhadap pe­nempatan dan kebebasan rakyat Palestin sendiri.

Negara Palestin sendiri sebenarnya telah melalui masa dan sejarah yang rumit dengan perkembangan politik di wilayah Gaza, ketika pemerintah Palestin sendiri berpecah dua kepada Hamas dan Fatah di bumi Palestin ini. 

Pada awalnya golongan Hamas dan Fatah yang mempunyai aliran dan falsafah perjuangannya yang berbeza, telah mengalami krisis politik dan ekonomi serta ke­selamatan dan perpaduan sesama sendiri sehingga kedua-duanya terpaksa mendirikan dua buah kerajaan di Gaza dan Tebing Barat.

Pemerintah Hamas dan Fatah berbeza perjuangan dan penyokongnya dalam kalangan dunia Arab berdasarkan dua kuasa yang berpengaruh di dunia Asia Barat iaitu Arab Saudi dan Iran, sehingga masalah dalaman ini menjadi 'duri dalam daging' yang melemahkan kekuatan pertahanan dan perjua­ngan kedua-dua wilayah Palestin.

Ketika dalam tekanan politik dan ketenteraan yang hebat ke atas rakyat Palestin, maka terdapat fatwa mengatakan bahawa semua penduduk Israel adalah tergolong dalam kategori tentera dan Israel mempunyai niat untuk menjajah semua tanah Arab dari Teluk Furat hingga ke Teluk Arab, oleh itu perbuatan membunuh diri untuk membunuh rakyat dan tentera Israel adalah merupakan jihad di peringkat pa­ling tinggi. 

Dengan itu perlakuan tersebut yang dikenali dengan istilah Harakah al-Istisyhadiyyah (Gerakan syahid) merupakan satu perjuangan suci dan orang yang terkorban di dalamnya adalah termasuk ke dalam kategori orang yang mati syahid. 

Israel pula dalam masa sama telah berusaha menipu dunia antarabangsa bahawa membunuh rakyat Arab adalah aksi suatu bentuk pertahanan yang seharusnya dilakukan atas nama mempertahankan diri, malah satu perang ke atas keganasan, the war on terror iaitu memerangi 'keganasan' dan membunuh para 'pengganas' wajar dilakukan.

Dunia juga diyakini bahawa Israel menyerang rakyat Palestin bertujuan untuk 'mengajar' rak­yat yang ganas dan buas ini. Dan inilah andaian utama yang menjadi wadah misi Zionist Enterprise sejak kelahiran gerakan ini. Bagi masyarakat Islam dan umatnya di seluruh dunia, mungkin ramai antara kita yang masih ingat tragedi yang menimpa kapal Marvi Marmara pada 31 Mei 2010 ketika rejim Israel menyerang anggota ke­amanan antarabangsa yang sedang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza di perairan antarabangsa yang mengorbankan sembilan orang sukarelawan itu. Peristiwa itu tidak dapat dibayangkan akan berlaku pada abad ke-21 dan dalam zaman tamadun manusia alaf ketiga ini. Tetapi ia dilakukan oleh Israel.

Bumi Palestin amat penting dari segi fizikal dan spiritualnya kepada umat Islam. Kepentingannya juga mempunyai hubungan dengan kesucian bumi ini dan sejarahnya dalam konteks perutusan para Nabi yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membawa rahmat dan kesejahteraan kepada manusia dan dunia ini.

Al-Quran menyatakan tentang para Nabi yang turun dan men­diami bumi suci Palestin ini de­ngan jelasnya iaitu seperti Nabi Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yaaqub, Yusuf, Salih, Daud, Sulaiman, Isa dan para nabi lain lagi.

Nabi dan Rasul terakhir, Muhammad SAW, Nabi kita, telah diberikan penghormatan yang amat mulia oleh Allah SWT dengan pengembaraannya ke bumi suci ini dan persinggahannya pada waktu malam Israknya di masjid Al-Aqsa dalam peristiwa Israk dan Mikraj baginda dalam satu peristiwa mukjizat yang besar seperti yang disebutkan di dalam al-Quran:

Maha suci Allah yang telah membawa hamba-Nya berjalan pada malam hari dari Al-Masjid Al-Haram ke Al-Masjid Al-Aqsa yang telah Kami berkati sekeli­lingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada bukti-bukti (kekuasaan) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. (Al-Isra' ayat 1)

Masjid Al-Aqsa yang terletak di bumi Palestin adalah kiblat pertama umat Islam dan merupakan salah satu masjid suci, di samping masjid Al-Haram di Mekah dan masjid Al-Nabawi di Madinah. Umat Islam kini bebas melawat dan beribadah di kedua-dua masjid yang terletak di bumi Saudi, di Mekah dan Madinah, tetapi amat malang sekali sebuah masjid suci yang merupakan kiblat pertama iaitu masjid Al-Aqsa kini terletak di bawah kekuasaan rejim Israel yang terkutuk itu selepas kekalahan Arab dalam pepe­rangan lima hari pada Jun 1967.

Semenjak penaklukan Zionis dalam Jun 1967, pihak Zionis telah melakukan pelbagai aktiviti yang merosakkan masjid Al-Aqsa. 

Hanya beberapa hari sahaja se­lepas penaklukannya, pihak me­reka telah merobohkan dinding Al-Magharibah di sebelah barat Masjid dan diratakan untuk dijadikan tem­pat ibadat orang Yahudi.

Dalam usaha mereka untuk me­nemui bukti sejarah tentang keha­diran (Solomon's temple) di kawasan utara dan barat kota Baitulmuqaddis, mereka telah menjalankan kerja galian dan pembongkaran yang besar di kawasan itu, tetapi mereka tidak menemukan bukti yang mereka cari itu, malah bukti sejarah yang mereka temukan menunjukkan bahawa bandar dan kota ini adalah kota suci Islam.


DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut
Integriti Malaysia (Integriti).


Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget