NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bahasa Melayu: Guna dalam bidang sains perubatan



KUALA LUMPUR: Kebanyakan jurnal perubatan ditulis dalam bahasa Inggeris dan digunakan sejak sekian lama dalam bidang itu, termasuk ketika pembelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) mendorong seorang doktor menterjemahkan ke bahasa Melayu.

Justeru, pensyarah dan doktor pakar perbidanan dan sakit puan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Nik Hazlina Nik Hussain memecahkan tembok paradigma penggunaan bahasa Melayu dalam bidang sains perubatan.

Usaha pakar perubatan wanita ini bukan saja membanggakan tetapi berjaya menghasilkan pelbagai buku perubatan dalam bahasa Melayu dengan tafsiran tepat, mudah difahami pembaca sekali gus bukan sekadar menukar ejaan istilah perubatan.

Ini sekali gus melayakkan beliau menerima pengiktirafan Tokoh Akademik bahasa Melayu yang diberikan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi 2017, pada 26 Oktober tahun lalu.

Pada 30 April lalu, beliau sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Buku Negara Kategori Pengajian Tinggi, iaitu Buku Perubatan Terbaik dengan judul bukunya, Ginekologi: Ilmu Kesihatan Wanita oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN).

Ibu kepada lima cahaya mata ini, berkata penggunaan bahasa Melayu dalam sains perubatan itu dicetuskan keperluan pesakit untuk memperoleh buku yang mudah difahami, sekali gus memberikan kesungguhan kepadanya menulis lebih banyak buku bacaan umum dalam bahasa ibunda.

"Saya bermula dengan menulis catatan ringkas pada kertas mengenai masalah dan rawatan pesakit setiap kali sesi temu janji di hospital. Kertas yang sama itu dibawa pesakit berkenaan setiap kali perjumpaan hingga lembaran itu hampir lunyai.

"Bagi pesakit pula, mereka berdepan masalah untuk memahami penyakit yang dihidapi, berikutan tiada buku yang boleh dibaca masyarakat umum, termasuk pesakit yang menerima rawatan daripada saya," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Beliau turut mengakui mencari padanan bahasa Melayu bagi istilah sains perubatan namun perkara itu tidak menjadi kekangan, kerana impiannya mahu masyarakat memperoleh bacaan yang mudah difahami.

"Sebenarnya bukan mudah untuk memadankan istilah yang kebanyakan dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu hingga membuatkan peringkat awal menulis sukar dilakukan.

"Tetapi semua ini saya anggap sebagai cabaran meskipun perlu membuatkan terjemahan semula dalam bahasa kebangsaan. Tambahan pula sebagai doktor pakar dan pensyarah, memerlukan saya menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

"Namun, semakin kerap menulis dalam bahasa Melayu, terjemahan ini tidak lagi sukar. Lebih istimewa, pengalaman dan pencapaian yang diraih selama ini membuktikan bahawa bahasa Melayu boleh dijadikan bahasa pengajaran dan pembelajaran dalam bidang sains dan teknologi," katanya.

Beliau menyifatkan penggunaan bahasa Melayu tidak merendahkan nilai dan kedudukan bidang perubatan.

Katanya, dengan pengiktirafan itu membuktikan bahasa Melayu boleh diketengahkan dan didaulatkan sebagai bahasa ilmu untuk bidang sains perubatan, dengan syarat ahli akademik harus memilih bahasa Melayu sebagai wahana penulisan dalam penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat ikhtisas kepada masyarakat pelbagai bangsa dan peringkat umur.

Sebagai pensyarah universiti dan doktor perubatan, Dr Nik Hazlina mengakui beliau berhadapan dengan kekangan masa untuk melangsaikan kerja penulisan buku.

"Semua orang ada masalah tersendiri. Justeru, perlu membahagikan masa bagi memastikan semua yang ingin dilakukan tercapai. Ini membuatkan saya menyusun jadual dengan lebih bersistematik.

"Pengalaman manis sebagai penulis buku mencetuskan inovasi apabila saya berpeluang menulis novel bertemakan perubatan dan kesihatan antaranya Memori Cinta Medik dan Mengejar Zuriat, manakala dua lagi dalam proses penerbitan.

"Buku Kesihatan Wanita pada Usia Emas, diterbitkan Februari lalu dan terpilih sebagai buku akademik pertama di Malaysia untuk teknologi (AR)," katanya.

Info Profil Dr Nik Hazlina Nik Hussain
Umur: 53 tahun
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Pendidikan:

-Ijazah Doktor Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (1990), lulus kepakaran dalam bidang Obstetrik & Ginekologi di USM (1997)

-Pengajian subkepakaran bidang reproduksi endokrinologi dan infertiliti di Royal Women's Hospital dan Melbourne IVF di Victoria, Australia, 2006.

Pencapaian:

- Anugerah Buku Negara - (30 April 2018)

- Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2017

Kepakaran:
Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetrik & Ginekologi)
Sumbangan dan pengiktirafan

- Penulisan dan penerbitan karya bahasa Melayu dalam bentuk buku umum dan ilmiah, makalah, penyelidikan, hasil inovasi, penyeliaan tesis, ruangan soal jawab akhbar dan majalah.

- Penerima Anugerah Sanggar Sanjung USM kategori Penerbitan Buku dan Jurnal

- Penerima Hadiah Utama Karya Ilmiah Kebangsaan (2015).

- Penerima Hadiah Penulisan Sains dan Teknologi Terbaik dan Anugerah Citra Sahabat (individu) oleh DBP (2015).

- Ketua Projek Penulisan DBP-USM sejak 2008.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo