NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar umum tanding Presiden PKR




Datuk Seri Anwar Ibrahim akhir memuktamadkan keputusannya untuk merebut jawatan Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung Ogos nanti.

Ketua Umum PKR itu berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau berbincang dengan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR.

“Mutakhir ini terdapat beberapa pandangan mengenai keperluan untuk saya turun ke gelanggang mengemudi PKR selaku Presiden menggantikan Azizah.

“Saya mengamati setiap pandangan yang dilontar dengan penuh teliti.

“Seyogia diingatkan, sejak Pemilihan PKR tahun 2007 saya telah diminta untuk memimpin PKR selaku Presiden. Namun, sekatan-sekatan yang dikenakan oleh Pendaftar Pertubuhan pada ketika itu ternyata menjadi kendala, malah lebih parah lagi membawa implikasi pembubaran parti. Demi maslahah lebih besar, saya memilih untuk berundur sementara Azizah kekal selaku Presiden PKR.

“Justeru setelah berbincang dengan Azizah, Timbalan Presiden, dan kempimpinan, serta mengambilkira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan PKR, dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden PKR,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Anwar yang dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya sememangnya sudah dijangkakan akan membuat penampilan kembali bagi menempatkan dirinya dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau disebut sebagai bakal Perdana Menteri ke lapan bagi menggantikan Mahathir selepas berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Anwar memuji kepemimpinan Wan Azizah yang berjaya menafikan kekuatan BN serta menumbangkan parti itu meskipun berdepan pelbagai cabaran dan halangan.

“Insya-Allah sekiranya mandat diperoleh dari akar umbi parti seluruh negara, saya akan mengemudi parti selaku Presiden selepas selesai Kongres Nasional PKR pada November 2018,” katanya.



Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo