NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Annuar sah SU Agong Baharu Umno


Kedudukan Setiausaha Agung UMNO kini diteraju oleh Tan Sri Annuar Musa, menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dilantik sebagai bendahari parti.

Selain itu, Datuk Shamsul Anuar Nasarah turut dilantik mengisi kerusi Ketua Penerangan UMNO yang baharu.

Pelantikan itu diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Sabtu.

Menerusi kenyataan yang sama, Zahid turut menyenaraikan pengerusi, timbalan pengerusi dan setiausaha badan perhubungan negeri.

Beliau turut menyenaraikan 11 individu yang dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi penggal 2018-2021, antaranya Datuk Seri Anifah Aman, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, Datuk Johan Abdul Aziz, Datuk Azizah Mohd. Dun, Datuk Abdul Rahman Mohamad, Datuk Seri Hajiji Noor dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Zahid dalam kenyataan berkata lantikan ini merupakan langkah awal UMNO untuk kekal relevan dalam arena politik tanah air.

“Lantikan ini adalah langkah pertama UMNO menuju pembaharuan supaya parti terus relevan dalam pentas politik negara.

“Saya komited untuk merekayasa dan memperjuangkan kepentingan negara bersama dengan jajaran pimpinan baharu UMNO berlandaskan Perlembagaan Malaysia dan Piagam UMNO seperti terkandung dalam Perlembagaan UMNO sendiri,” katanya yang turut berkata pemilihan parti baru-baru ini telah memperlihatkan bahawa UMNO kini lebih terbuka dan demokratik.

Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo