NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Aliran agama Islam juga banyak tidak diiktiraf - Ahmad Zaharuddin


KUALA LUMPUR 10 Julai - Kerajaan disarankan untuk turut sama mengiktiraf sijil-sijil daripada pendidikan aliran Islam seperti dari maahad-maahad tahfiz dan sekolah pondok sekiranya mahu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Menurut Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, langkah itu perlu untuk berlaku adil serta menjaga kepentingan semua pihak.

Ini kerana, menurut beliau, seperti mana UEC, palajar-pelajar dari aliran Islam seperti itu tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam mahupun mendapat peluang pekerjaan di sektor awam selain daripada yang berkait dengan pentadbiran masjid atau surau.

“Banyak kebaikan memberi pengiktirafan kepada pelajar aliran pendidikan aliran Islam. Kita telah memberi mereka ilmu akhirat dan dengan memberikan mereka ilmu duniawi.

“Ini akan mennjadikan mereka pelajar yang lebih holistik serta membawa manfaat besar kepada masyarakat dan negara,” jelas beliau ketika dihubungi Utusan Online.

Ahmad Zaharuddin turut menyatakan, pihak-pihak yang menuntut pengiktirafan UEC perlu berlapang dada dan menerima bahawa sijil-sijil aliran Islam juga perlu diiktiraf.

Jelas beliau, ini selaras matlamat utama Dasar Pendidikan Negara (DPN) ialah untuk mewujudkan pelajar yang holistik dan bertepatan dengang konsep keadilan untuk semua yang didukung oleh kerajaan.

“Dengan turut mengiktiraf sijil-sijil aliran pendidikan Islam, kerajaan akan membuka peluang yang sama rata untuk semua rakyat tidak kira apa latar belakang pendidikan mereka.

“Jika dilihat pada pecahan masyarakat pula, pengiktirafan sijil-sijil aliran pendidikan Islam juga dapat memanfaatkan orang Melayu yang merupakan kelompok bangsa yang terbesar di negara ini,” kata beliau.

Ahmad Zaharuddin juga berkata, pengiktirafan yang sama rata untuk sijil-sijil kedua-dua aliran itu juga akan mengelakkan daripada timbulnya pertikaian terhadap polisi Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah disediakan.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, negeri tersebut akan melaksanakan pengambilan lulusan UEC sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri Melaka memandangkan ia adalah sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Malah, isu berkenaan pengiktirafan ini juga dibangkitkan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon yang berkata kini DAP tidak mempunyai sebarang alasan lagi untuk tidak mengiktiraf sijil tersebut setelah wakilnya, Teo Nie Ching dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan. - UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo