NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Universiti : UM dalam 100 terbaik dunia



PUTRAJAYA: Universiti Malaya (UM) disenaraikan sebagai 100 universiti terbaik dunia, berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2018/2019 yang dikeluarkan, hari ini.

Universiti tertua di Malaysia itu berada di tempat ke-87 terbaik, melonjak 27 anak tangga berbanding tempat ke-114 tahun lalu.

Selain UM, empat lagi universiti awam (UA) juga menunjukkan peningkatan membanggakan dalam laporan ranking itu, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kedudukan ke-184 (2017: 230), diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-202 (2017: 229), Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-207 (2017: 264) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-228 (2017: 253).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata UM menunjukkan pencapaian konsisten, dengan tujuh subjek yang ditawarkan universiti turut tersenarai dalam 50 terbaik QS Ranking by Subject 2018, awal tahun ini.

"Pada tahun lalu, UM juga tersenarai dalam 10 Terbaik Universiti Terbaik Dunia bagi Kejuruteraan oleh US News and World Report 2017," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman World University Ranking 2018/2019 di sini, hari ini.


Maszlee berkata, kejayaan itu membuktikan universiti di Malaysia mempunyai reputasi kukuh di peringkat antarabangsa dan kementeriannya akan terus memberikan sokongan serta membantu penyelidik tempatan untuk bekerjasama dengan rakan penyelidik antarabangsa.

"Selaras dengan aspirasi kita untuk memberikan lebih autonomi kepada universiti, kita harap universiti akan meletakkan kebebasan akademik sebagai keutamaan mereka, selain menekankan kepentingan menjadikan universiti sebagai medan ilmu terbuka.

"Selain itu, kita tidak mahu memaksa atau memberi tekanan, tetapi berharap UA seperti UM mampu berada dalam kalangan 50 universiti terbaik pula pada tahun depan, begitu juga universiti yang berada dalam 200 terbaik supaya meningkat kepada 100 terbaik dan yang tidak tersenarai, dapat disenaraikan.

"Kita mahu universiti di Malaysia bukan hanya dikenali kerana ranking, tetapi melalui 'citation' dan karya ilmiah yang dihasilkan sarjana dalam pelbagai bidang," katanya.

Selain itu katanya, tujuh lagi institusi pendidikan tinggi tempatan (awam dan swasta) juga berjaya disenaraikan dalam senarai 500 terbaik iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Sunway University, Taylor's University dan UCSI University.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo