Umno miliki aset berbilion ringgit untuk gerakkan parti, kata Ku Li



SEREMBAN: Umno memiliki aset dan harta di seluruh negara, yang nilainya berjumlah berbilion ringgit dan ia sepatutnya boleh dimanfaatkan bagi terus menggerakkan parti.

Calon Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sehubungan itu ia (aset dan harta) perlu dikumpulkan dan dilihat semula bagaimana ia dapat dilaburkan bagi menjana hasil yang lebih baik.

"Umno mempunyai banyak aset bukan sahaja di ibu pejabat tetapi di seluruh negara termasuk saham dan harta lain. Ia lebih banyak di Kuala Lumpur bukan sahaja ibu pejabat Umno tetapi tanah yang kita beli di rancangan perumahan dan lain-lain. Saya tahu ini jelas sekali, tiap bahagian ada pejabatnya dan terletak di kawasan strategik yang nilainya sudah tentu meningkat dari tahun ke tahun.

"Semasa saya bendahari Umno dahulu, banyak tanah di Bangsar dimiliki Umno dan tiap-tiap satu kaki persegi di Bangsar hari ini harganya tidak kurang RM1,000. Saya rasa kalau setiap 1 bangunan harganya RM50 juta, bayangkan kalau di seluruh negara.

"Tinggal lagi bagaimana ia dapat diurus dengan baik dan bagaimana ia dapat dilabur semula dalam pelaburan yang boleh memberi pulangan baik kepada parti, jika ia dapat dilakukan (kumpul semua maklumat), insyaAllah kita ada peluang buat duit lebih dari apa yang kita jangkakan," katanya kepada pemberita selepas Sesi Ramah Mesra bersama calon Presiden Umno Tengku Razaleigh, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan Umno menamatkan penyaluran peruntukan bulanan ke semua bahagiannya termasuk sayap di seluruh negara.

Bagaimanapun kebanyakan aset Umno didaftarkan atas nama pemegang amanah yang memegang jawatan tinggi yang dilantik parti.

"Banyak harta ini didaftarkan atas nama pemegang amanah yang dilantik parti, apabila individu itu bertukar atas pemilihan atau perlantikan baharu dan sebagainya, kadangkala tidak ditukar nama Trusty dan ia kekal di atas nama orang yang lama," katanya.

Ditanya sekiranya terdapat penyelewengan dalam pengurusan aset Umno, Tengku Razaleigh berkata beliau tidak tahu namun menambah sekiranya bermain dengan duit dan harta, adik beradik sendiri juga boleh tersalah kira.

Dalam perkembangan sama, Tengku Razaleigh berkata sehingga kini Umno masih belum mengadakan "post-mortem" selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Setahu saya ia belum dilakukan. Sepatutnya parti kita selepas PRU, perlu adakan post mortem supaya dapat tahu apa kelemahan dan kesilapan," katanya.

Beliau turut meminta agar Umno membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat di atas isu yang mendorong kepada kekalahan Umno pada PRU14 yang lepas.–BERNAMA
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget