NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun M akui PH tak mampu tunai janji 100 hari



Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaan memerlukan masa lebih daripada 100 hari untuk menunaikan janji-janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu.

Menurut perdana menteri hal itu kerana manifesto terbabit dirangka ketika gabungan HARAPAN tidak menjangkakan mampu memperoleh kemenangan selesa mengatasi BN.

"Memanglah semasa itu kami sangka kami tidak boleh menang (PRU) lalu kami memberikan janji-janji yang kuat, yang kami dapati sukar untuk dilaksankaan pada hari ini.

"Kami katakan (dalam manifesti) bahawa dalam 100 hari kami akan menunaikan 10 janji berbeza. Tetapi sekarang kami dapati agak sukar untuk memenuhi objektif 100 hari berkenaan," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian semasa berucap selepas mesyuarat agung tahunan Dewan Perdagangan Amerika di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk kali pertama BN dinafikan haknya untuk menjadi kerajaan sejak merdeka apabila kecundang di tangan HARAPAN dalam PRU ke-14 lalu.

Pencapaian itu membolehkan Dr Mahathir sekali lagi dilantik sebagai perdana menteri. Beliau pernah menjadi perdana menteri selama kira-kira 22 tahun, mulai 1982.

Berusaha siang malam

Untuk mendapatkan sokongan rakyat HARAPAN menawarkan pelbagai janji melalui manifestonya, termasuk 10 janji yang diikrar akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

Antaranya ialah menangguhkan pembayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), meningkatkan tahap gaji minimum dan menubuhkan jawatankuasa bagi membincangkan Perjanjian Malaysia 1963.

Turut dijanjikan, penubuhan suruhanjaya siasatan diraja mengenai skandal melibatkan 1MDB, Felda, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Lembaga Tabung Haji.


Menurut Dr Mahathir ada beberapa janji HARAPAN sudah dilaksanakan seperti mengeluarkan nama peminjam PTPTN daripada senarai hitam, memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), memperkenalkan semula subsidi minyak serta mengkaji semula semua projek mega yang diluluskan kerajaan terdahulu.

Walaupun memerlukan masa lebih lama, Dr Mahathir memberi jaminan kerajaan HARAPAN tetap akan menunaikan segala janji yang diikrarkan sebelum ini.

"Kami masih melakukannya, tetapi ia mungkin memerlukan masa lebih sedikit daripada 100 hari.

"[...] Kami sangat, sangat bekerja keras siang dan malam untuk cuba membina semula ekonomi negara ini," katanya.

Menurut perdana menteri kerajaan semasa kekurangan tokoh berpengalaman kerana HARAPAN - sebahagian besarnya - selama ini ialah parti pembangkang.

Katanya, selama 60 tahun pembangkang - kecuali Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang sebahagiannya dianggotai bekas menteri dan perdana menteri) - sentiasa cuba mengalahkan kerajaan BN dan gagal.

"Sekarang mereka menang tetapi tidak tahu bagaimana kerajaan beroperasi.

"Ia jauh lebih mudah untuk mengkritik orang lain dari luar tetapi tidak begitu mudah (apabila) anda berada di dalam (kerajaan), anda perlu melaksanakan.

"Tetapi kami akan tetap melaksanakannya kerana menjadi matlamat kami untuk melakukannya pada tahap terbaik," katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo