NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tindakan Guan Eng tidak wajar - Rais Yatim


AHLI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Dr Rais Yatim menganggap tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan rasmi kerajaan dalam bahasa Mandarin sebagai tidak wajar.

Beliau berkata, selama 40 tahun berada di dalam dan luar kerajaan, tidak pernah lagi bahasa lain digunakan sebagai kenyataan rasmi daripada kerajaan selain bahasa Melayu.

"Bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sudah cukup dan saya mohon supaya edaran dalam bahasa Mandarin tidak dilaksanakan. Saya lebih anggap ini sesuatu yang mungkin tidak berlaku atau sengaja dilakukan oleh pihak tertentu.


"Oleh itu, dengan rasa rendah hati saya mohon jika benar berlaku edaran dalam bahasa Mandarin, janganlah diteruskan amalan itu dan kita rasmikan dengan hormat kehendak Perlembagaan iaitu bahasa kebangsaan dalam bahasa Melayu begitu juga dengan edarannya," katanya.

Beliau ditemui pada majlis forum Pasca-PRU14: Mendepani Cabaran Melestari Institusi Beraja di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, hari ini.

Hadir sama, EXCO Armada PPBM Mohd Asyraf Mustaqim Badrul Munir, Felo Utama bersama KITA-ATMA Prof Datuk Dr Teo Kok Seong dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.

Terdahulu, berbicara mengenai topik pada forum itu, Rais berkata, tidak perlu ada kerisauan kerana Raja-Raja Melayu dengan kuasanya tetap ada dan unggul.

"Di bawah Perlembagaan sudah cukup divisi dan harakatnya, tinggal lagi tidak dioperasi dengan berhemah. Jika eksekutif itu kuat, pihak diraja akan mendapat kebaikan sekiranya kehakiman menjadikan tugas dengan aman, tenteram dan adil raja akan mendapat habuan nama yang baik.

"Selain itu, Raja-raja Melayu sendiri harus ada sikap turun padang dan rajin mendekatkan diri dengan rakyat," katanya.

Dalam pada itu, mengulas berita mengenai kemungkinan beliau bakal dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat, Rais berkata, setakat ini pihaknya belum dihubungi secara rasmi.

"Baru hari ini saya mendengar perkara ini. Insya-Allah saya tidak menolak sekiranya ditawarkan dengan jawatan itu," katanya ringkas.





No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo