NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Teruskan ECRL Langkah Tepat Majukan Pantai Timur


KOTA BHARU – Keputusan kerajaan Persekutuan untuk meneruskan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disifatkan sebagai langkah tepat kerana projek itu dilihat mampu bertindak sebagai pencetus perubahan kepada ekonomi pantai timur.

Badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) yang menyambut baik keputusan itu berkata projek itu bakal menjadi pemangkin kesaksamaan ekonomi antara pantai timur dan pantai barat sekali gus menutup jurang antara kedua-dua kawasan itu.

Presidennya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata laluan sepanjang 600 kilometer itu bakal membawa banyak impak sosioekonomi kepada kawasan luar bandar dan bandar yang dilaluinya.


Katanya projek ECRL yang dijangka siap pada 2024 itu juga akan mewujudkan pelbagai peluang kerja baharu sekaligus mengurangkan kadar penghijrahan golongan muda Kelantan ke negeri-negeri lain selain meningkatkan ekonomi tempatan terutama sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Projek ECRL itu juga dilihat sebagai penyelesaian tunggal mengatasi masalah kesesakan jalan raya di pantai timur terutamanya pada musim perayaan dengan tempoh perjalanan sehingga 14 jam, katanya dalam kenyataan hari ini.

Sheikh Ahmad Dusuki berharap projek itu tidak dipolitikkan demi kebaikan negara dan keselesaan rakyat khususnya penduduk di Pantai Timur.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk tidak meneruskan projek ECRL kerana berpendapat ia hanya membazir, namun memutuskan sebaliknya selepas mendapati kerajaan terdahulu telah membuat pembayaran yang tinggi kepada syarikat pemaju.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu sebuah portal berita bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan ECRL selepas perbincangan semula kosnya dan sejumlah RM20 bilion sudah dibayar. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo