NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor: Siapa menteri besar baharu?

 'Belum lagi, calon saja


Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my

TIDAK sampai sejam selepas Istana Selangor mengumumkan tarikh Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor, desas-desus siapa bakal mengisi kerusi itu kembali bertiup kencang.

Ia berikutan, ucapan tahniah jelas kedengaran dilantunkan tetamu di Istana Bukit Kayangan selepas Istiadat Pentauliahan Watikah Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor pagi tadi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari.


Biarpun Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih mengunci mulut, nama Amirudin sudah mula disebut-sebut termasuk pihak media sebagai calon paling layak menggantikan ketuanya itu.

Malah, walaupun Amirudin menjawab 'belum lagi, calon saja', petugas media yang hadir seakan-akan faham maksud senyuman ADUN itu.

Jika beliau dilantik menjadi Menteri Besar, ia bukanlah satu kejutan memandangkan nama beliau sudah diramal sejak awal lagi.

Pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, walaupun usianya baru mencecah 38 tetapi pengalaman Amirudin dalam pentadbiran kerajaan negeri lebih lama berbanding calon lain.

"Kalau nama beliau (Amirudin) yang naik, saya tidak terkejut kerana beliau antara calon yang diramal menjadi Menteri Besar Selangor ke-16 memandangkan kekananan dalam pentadbiran dan pernah menyandang jawatan EXCO kerajaan negeri pada penggal lepas.

"Kerusi Menteri Besar pastinya akan diberikan kepada orang lama dalam PKR, lama berkhidmat dalam kerajaan negeri seperti EXCO.

"Dalam senarai EXCO kerajaan negeri yang dilantik, beliau antara paling lama berkhidmat dan dipilih kembali. Dua lagi EXCO lama yang dilantik semula adalah Datuk Teng Chang Khim dan V Ganabatirau, tetapi tidak boleh jadi Menteri Besar kerana mereka bukan beragama Islam dan berbangsa Melayu.

"Tidak kena juga jika individu yang pernah berkhidmat sebagai EXCO kerajaan negeri sebelum ini tetapi digugurkan, diangkat menjadi pula Menteri Besar. Jadi individu paling sesuai adalah Amirudin," katanya ketika dihubungi NSTP.

Mohd Azizuddin berkata, selain Amirudin, ADUN Seri Setia, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin juga boleh dilantik memandangkan beliau juga mempunyai kelebihan tersendiri.

"Shaharuddin juga dilihat layak tetapi beliau muka baharu yang pertama kali bertanding, pertama kali menang dan pertama kali jadi EXCO. Jika beliau dilantik menjadi Menteri Besar, pasti ada pihak akan bercakap, takkan baru jadi EXCO terus naik memegang jawatan tertinggi di Selangor.

"Secara peribadi, saya lebih cenderung kepada Dr Shaharudin tetapi apa yang saya suka tidak boleh diambil kira. Kena lihat apa rakyat suka dan paling penting Sultan Selangor selesa dengan siapa, jadi individu itulah yang layak.

"Kalau Sultan Selangor berkenan dari segi senioriti dalam pentadbiran memang Amirudin orangnya. Dari segi keakraban dengan Mohamed Azmin pula, Dr Shaharuddin juga boleh buat kerja," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan media, berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah memberi perkenan untuk Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu diadakan selepas Aidilfitri iaitu pada 19 Jun ini. Mohamad Munir berkata, istiadat itu akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang dan Mohamed Azmin akan turut melepaskan jawatan sebagai Datuk Menteri Besar Selangor berkuat kuasa pada tarikh sama.

Pada 21 Mei lalu, Mohamad Munir memaklumkan Mohamed Azmin akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar sebaik saja baginda berkenan melantik individu baharu ke jawatan berkenaan.

Beliau berkata, Mohamed Azmin akan kekal menjawat jawatan itu buat sementara waktu sehingga tempoh peralihan kuasa dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.

Katanya, Mohamed Azmin juga perlu mengemukakan senarai calon Menteri Besar yang baharu untuk penelitian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum lantikan dilaksanakan.

Pengumuman itu susulan pertemuan Mohamed Azmin dengan Sultan Selangor selama dua jam sehari sebelum itu bagi memaklumkan mengenai pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo