Sabah : Sidang khas DUN 11 Jun


KOTA KINABALU: Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bakal diadakan pada 11 Jun ini dan dijangka membentangkan dua agenda penting.

Persidangan DUN kali pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu akan menyaksikan majlis angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk ADUN Dilantik serta usul undi menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri.

Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Stephen Wong ketika dihubungi NSTP hari ini, sambil memaklumkan beliau sudah menerima surat bagi menghadiri sidang DUN berkenaan.

"Persidangan khas ini bermula jam 10 pagi dan mempunyai dua agenda, iaitu angkat sumpah ADUN dan undi menyokong Datuk Seri Shafie sebagai Ketua Menteri," katanya yang juga Ahli Parlimen Sandakan dari DAP.

Difahamkan, wakil rakyat pembangkang dari Barisan Nasional (BN) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) turut menerima surat menghadiri persidangan DUN khas itu, namun belum dapat dipastikan sama ada mereka akan hadir atau sebaliknya.

Sementara itu, ADUN Tamparuli dari Parti Bersatu sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, berkata beliau juga dimaklumkan mengenai persidangan itu.

"Saya dimaklumkan (mengenai persidangan khas), tetapi ia tertakluk kepada nasihat dari mesyuarat biro politik kami yang akan diadakan tidak lama lagi (sama ada untuk menghadirinya)," katanya.

Setiausaha DUN Sabah, Datuk Bernard Balinting berkata, mengikut Perlembagaan negeri, Ketua Menteri mempunyai 120 hari untuk mengadakan sidang pertama selepas pilihan raya.

"Persidangan khas ini akan dianggap sebagai yang pertama selepas pilihan raya," katanya.

Sebelum ini, berlaku krisis dalam pelantikan Ketua Menteri Sabah berikutan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah jawatan pada 10 Mei lalu selepas BN yang memperoleh 29 kerusi DUN membentuk kerjasama dengan STAR yang memiliki dua kerusi.

Bagaimanapun, dua hari kemudian, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) pula mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri selepas parti itu bersama PKR dan DAP mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila enam ADUN BN menyatakan sokongan kepada beliau.
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget