Raja dan rakyat berpisah tiada

Oleh: Zainul Rijal

SEJAK PRU14 yang lepas ramai berbicara mengenai institusi raja. Tidak kurang yang mengkritik dan memfitnah sehingga melampaui batasan dari sudut undang-undang. Ramai yang tidak dapat membezakan antara pendapat, kritikan, berbohong, memfitnah dan menghasut. Trend sebegini sangat menggusarkan kerana sesetengah kita mengambil pandangan yang begitu simplistika dan terus meng-hukum.

Akhirnya elemen sejarah, efek perundangan dan kepentingan institusi dipinggirkan semata-mata kerana mahukan pembaharuan yang masih belum lagi ranum resipinya bagi membawa kebaikan sejagat. Kelak kita bagai yang dikendung berciciran yang dikejar tidak dapat.

Namun tiada salahnya memberi pandangan dan mengkritik. Tetapi berbohong, memfitnah dan menghasut mempunyai implikasi undang-undang yang berbeza kepada pelakunya.

Sebenarnya sebelum Perseku-tuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negeri-negeri Melayu merupakan negara-negara berdaulat - dimiliki oleh rajanya sendiri dan rakyat menundukkan ketaatan mereka kepada raja masing-masing.

Tatkala menggarap persetujuan mencapai kemerdekaan, raja-raja Melayu menjadi penandatangan penting kepada perjanjian tersebut kerana baginda mempunyai jajahan mereka sendiri. Malah di Negeri Sembilan, Datuk Undang juga menjadi penandatangan persetujuan tersebut kerana setiap Datuk Undang di Negeri Sembilan juga mempunyai jajahan sendiri.

Begitulah peri pentingnya kerajaan Melayu di Malaysia. Kita mengistilahkan penguasa di Malaysia sebagai ‘kerajaan’ bukan ‘pemerintah’. Kalimah kerajaan mempunyai akar kata raja yang menggambarkan kepentingan raja itu sendiri dan bukan penguasa yang memerintah dengan istilah pemerintah seperti di Singapura umpamanya.

Sebab itulah Perkara 39 Perlem-bagaan Persekutuan menukilkan kuasa eksekutif Persekutuan terletak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan jadual kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh jemaah menteri atau oleh mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, berikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Persekutuan Malaysia begitu unik mempunyai mekanisme semak dan imbangnya yang tersendiri. Mungkin ada kelemahan dalam kalangan individu yang mengisi jawatan tertentu namun mempertahankan institusi raja sangatlah perlu kerana ia merupakan jati diri negara kita.

Setiap pihak sama ada raja, rakyat mahupun pimpinan kerajaan perlu akur dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Kemegahan dan gahnya institusi dan peranan bukan semata-mata atas kemuliaannya tetapi setiap pihak hendaklah berusaha memuliakan institusi yang diduduki.

Rata-ratanya rakyat Malaysia khususnya orang Melayu sangat taat kepada raja-raja sehinggakan kisah legenda Hang Tuah dan Hang Jebat sentiasa meniti di hati masyarakat Melayu. Jangan sesekali mencemarkan institusi raja-raja Melayu apatah lagi ia telah dilindungi oleh Perlem-bagaan Persekutuan.

Ironinya ada yang mempertikaikan institusi raja-raja Melayu tetapi tidak malu-malu pula apabila menerima anugerah daripada raja-raja Melayu tanpa segan silu terus menerimanya.

Raja dan rakyat berpisah tiada ia bagai aur dengan tebing saling lengkap melengkapi. Raja-raja perlu merasai denyut nadi rakyat barulah rakyat akan bangun mempertahan raja. Raja perlu bersama rakyat menjalin hubungan yang intim dan bersepadu.

Sebagai ketua agama raja-raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan agama Islam. Ia selaras dengan sumpah baginda memelihara agama Islam pada setiap masa. Raja-raja merupakan benteng terakhir umat Islam dalam mempertahankan agama Islam di Malaysia. Hakikat ini perlu diinsafi oleh setiap rakyat dan raja-raja.

Kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Perse-kutuan bukanlah mutlak. Ia boleh dan telah disekat oleh undang-undang. Rakyat bebas mengeluarkan pandangan dan mengkritik tindakan raja-raja Melayu begitu juga sebaliknya. Namun pandangan dan kritikan tersebut perlulah disulami dengan nilai ketimuran dan adab sopan.

Malah Perlembagaan Perseku-tuan membuat peruntukan khas sekiranya mana-mana orang yang tidak berpuas hati terhadap perlakuan peribadi mana-mana raja-raja Melayu sama ada dalam kes jenayah atau kes sivil boleh membawa tindakan tersebut ke Mahkamah Khas menurut Perkara 182 dan 183 Perlembagaan Persekutuan. Raja-raja juga boleh memulakan tindakan terhadap mana-mana orang melalui peruntukan yang sama.

Marilah kita sama-sama menginsafi kedudukan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan ini. Kita pertahankan jati diri negara ini. Jangan alihkan institusi raja-raja Melayu ini dari istana ke muzium sebagaimana yang terjadi di beberapa negara lain. Raja dan rakyat berpisah tiada.

http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/zainul-rijal-abu-bakar/raja-dan-rakyat-berpisah-tiada-1.847732
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget