Politik populisme kini merebak ke Malaysia



Oleh: DR. SHAHRUL NAZMI SANNUSI

JIKA tahun lalu penulis pernah mengandaikan fenomena politik populisme yang melanda beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) berpotensi untuk merebak ke negara ini. Nah! ia kini secara rasmi telah tiba ke pesisir Malaysia sejak awal pagi 10 Mei lalu.

Janji seperti memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), bayaran tol, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan penetapan harga minyak yang dinyatakan oleh Pakatan Harapan (PH) pasca Pilihan Raya ke-14 (PRU-14) lalu sememangnya bersifat populis di mata rakyat.

Sebagai ahli akademik, penulis bersetuju bahawa setiap janji yang bakal dilaksanakan akan memberikan impak. Namun, ia memberikan impak besar kepada kewangan negara sekiranya sumber pendapatan negara dimansuhkan.
Defisit belanjawan

Sehingga artikel ini ditulis, Indeks Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI) telah merosot sekitar enam peratus berbanding sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Belum ada kenyataan jelas bagaimana kerajaan baharu Malaysia mencadangkan kaedah lebih kreatif dalam menangani cabaran ini. Malaysia mempunyai sumber yang pelbagai seperti hasil bumi, eksport dan cukai. Namun semua ini tidak mencukupi untuk menampung jumlah perbelanjaan negara yang mencecah RM250 bilion setiap tahun. Pada masa sama, hutang negara pula dikatakan melonjak melebihi RM1 trilion.

Maka, kerajaan perlu mencari jalan bagi mengimbangi kekurangan pendapatan yang berlaku. Antaranya dengan mengenakan pelbagai bentuk cukai serta bayaran terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

Kebimbangan yang timbul dalam kalangan pakar ekonomi kini ialah bagaimana ingin menampung defisit belanjawan negara yang semakin melebar akibat pembatalan dasar cukai ini? Jika dilihat secara teliti, kebanyakan janji yang dinyatakan banyak mencerminkan ciri-ciri politik populisme.

Istilah politik populisme merujuk kepada satu bentuk gerakan politik yang bersifat menentang kuasa golongan elit dan mementingkan faedah rakyat teramai berbanding kepentingan awam. Dengan memperkenalkan dasar populis kepada rakyat, ia mudah memancing sokongan pengundi. Sejak tahun 2015, banyak pemimpin negara seperti AS, Britain, Austria, India, Itali hinggalah ke negara jiran terdekat Filipina juga berjaya melahirkan pemimpin negara yang bersifat populis ini.
Orang muda

Penulis melihat ciri-ciri politik populisme ketika ini ialah ia didokongi oleh golongan muda, kehadirannya sukar dikesan dalam kalangan rakyat, bersifat anti-establishment dan anti-kapitalisme, polisi dan janji yang lebih segar serta mempesonakan pengundi. Gabungan janji ini mudah untuk 'dijual' dengan dibantu oleh kuasa media sosial yang sangat berpengaruh ketika ini. Kemenangan PH juga berjaya melakar sejarah baharu dalam politik negara ini. Hentaman kuat tsunami 82 peratus rakyat keluar mengundi berjaya melahirkan ikon politik baharu yang vokal seperti Syed Saddiq (Muar), Prabakaran (Batu), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Dr. Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan lain-lain.

PRU-14 juga mencatatkan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua memperoleh majoriti tertinggi (106,903) manakala calon Pas, Maliaman Kassim untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil di Terengganu mencatat majoriti terendah empat undi sahaja.

Perlukah kita bimbang dengan politik populisme ini? Jika dilihat apa yang berlaku di AS, pasaran kewangan negara terbabit menerima kesan knee jerk reaction beberapa hari selepas kemenangan calon populis, Donald Trump yang menampilkan pelbagai janji luar biasa dalam kempen pilihan rayanya. Perkara sama juga berlaku di Britain dan kini di Malaysia. Keadaan ini bersifat sementara setelah pemain utama pasaran mencerna maklumat tentang polisi kerajaan baharu yang ditubuhkan.

Penulis melihat asas ekonomi negara tidak banyak berubah walaupun pasaran saham dan kewangan negara masih bergolak. Cuma, kini pihak kerajaan perlu bijak menangani perang persepsi yang sedang wujud. Naratif yang wujud kini ialah kerajaan PH masih baharu, tidak berpengalaman dan bermentaliti pembangkang. Mantan kerajaan Barisan Nasional (BN) pula dilihat melindungi rasuah dan memberi sokongan membuta tuli kepada pemimpin yang membawa liabiliti kepada mereka sendiri.

Ada baiknya jika semua wakil rakyat kerajaan baharu ini mempelajari teknik memberi respons kepada pihak media serta 'pengurusan mulut' yang lebih serius. Ini bagi mengelakkan peristiwa yang berlaku kepada Menteri Besar Johor yang baharu serta Lim Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar dan menimbulkan kritikan umum.

Kini rakyat ternanti-nanti peranan PH dan BN kali ini yang berpindah kedudukan kerusi mereka di Parlimen. Terbukti, kuasa serta pengaruh politik populisme mampu melukis semula landskap politik sesebuah negara secara mengejut. Itulah seni dalam politik.


Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget