NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pokok getah tertua bernilai RM3.8 juta


RUTIN hujung minggu remaja berusia 14 tahun itu seringkali dihabiskan dengan beriadah di Taman Tasik Seremban (TTS), Seremban, Negeri Sembilan.


Haziq Ali Hisham gemar berkunjung ke situ disebabkan ia dilengkapi dengan trek joging yang dilindungi pohon besar dan rendang.


Biasanya, Haziq Ali akan berlari mengelilingi trek joging sebanyak dua pusingan sambil menghirup udara segar di taman itu.

Bagaimanapun, pada hari itu waktu riadahnya sedikit terganggu dengan sebatang pokok besar sekitarnya dikelilingi pagar putih setinggi satu meter.

Dia berasa hairan kerana pokok tersebut merupakan satu-satunya pohon di TTS yang dijaga dengan penuh rapi.

Haziq Ali terpanggil untuk mengetahui dengan lebih mendalam keistimewaan pokok yang memiliki batang besar dengan urat berpusing itu.

Apa yang tertera di papan tanda itu ialah Pokok Getah Pertama di Negeri Sembilan.

Raut wajahnya kelihatan teruja sebelum menghabiskan masa selama hampir 20 minit bagi mengamati susuk flora berkenaan dan membaca informasi yang diletakkan.

"Saya rasa, papan tanda ini baru saja diletakkan. Sebelum ini, saya rasa papan tanda ini belum ada lagi.

"Saya betul-betul tidak sangka pohon ini mempunyai nilai sejarah besar kepada negeri ini," katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Pokok getah yang mempunyai lilitan batang sepanjang 3.5 meter (m) dan berketinggian 25m itu dianggarkan berusia 120 tahun.



Pokok berkenaan dipercayai ditanam oleh pelopor industri getah di negara ini iaitu Sir Henry Nicholas Ridley.

Menurut Haziq Ali, nilai sejarah yang ada pada pokok tersebut sangat penting memandangkan negara ini cukup sinonim dengan industri getah.

Anak bongsu daripada empat adik-beradik itu menambah, pokok getah tersebut juga sangat unik kerana dapat hidup dalam tempoh lama.

"Dalam buku sejarah, saya hanya kenal pokok getah tertua di Malaysia yang terletak di Kuala Kangsar (Perak).

"Selepas mengetahui kewujudan pokok ini. Saya rasa sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan pokok ini terus terpelihara untuk generasi akan datang," katanya.
Anak benih

Menariknya, pokok getah tertua di Negeri Sembilan mempunyai perjalanan sejarah hampir serupa dengan pokok getah tertua di Kuala Kangsar.

Penolong Pegawai Senibina Jabatan Taman dan Landskap, Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Mohd. Azpuri Abd. Aziz berkata, pokok getah yang hidup di sebelah Galeri Diraja itu merupakan salah satu daripada 22 anak benih yang dibawa dari Kew Gardens, England pada tahun 1877.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, 11 anak benih berkenaan telah disemai di Botanic Gardens, Singapura manakala bakinya dibawa ke Malaya.

"Saya difahamkan sembilan anak benih dihantar ke Kuala Kangsar manakala bakinya dua ditanam di Melaka dan Negeri Sembilan.

"Saya yakin, pokok ini merupakan anak benih yang dibawa ke sini, memandangkan usianya selari dengan tahun anak benih berkenaan dibawa ke Malaya.

"Menguatkan lagi hujah, pokok getah ini berada betul-betul di depan bekas tapak kediaman rasmi Residen British di Negeri Sembilan," katanya.

Menurut Mohd. Azpuri, pokok getah berkenaan dibawa oleh British ke Malaya untuk mengenal pasti kesesuaian tanaman berkenaan di rantau ini.

Katanya, disebabkan tumbesarannya yang sempurna, pokok getah di TTS telah berjaya meyakinkan pihak British untuk membuka ladang getah pertama Negeri Sembilan di Linsum estet, Rantau.

Linsum estet telah dibuka oleh Bapa Perusahaan Getah Asli di Malaya iaitu Thomas H. Hill dengan keluasan 1,600 ekar pada tahun 1883.

Ladang yang diuruskan oleh syarikat Anglo-Malay Rubber Company kemudian berkembang sehingga menjadi salah satu pengeluar getah utama di negara ini.

"Negeri Sembilan merupakan salah satu daripada tiga Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak dan Selangor yang tanaman getahnya berkembang pantas.

"Menjelang tahun 1920, Malaya telah mengeluarkan lebih separuh daripada getah dunia lantas menjadikannya tanaman penting di rantau ini hinggalah sekarang. British memerlukan getah bagi memenuhi permintaan tinggi industri di Eropah dan Barat," katanya.
Susu getah

Pokok getah merupakan sejenis tanaman yang hidup di kawasan selatan khatulistiwa terutamanya di Hutan Amazon, Amerika Selatan.

Ia memerlukan hujan sebanyak 180sm hingga 250sm setahun dengan suhu antara sekitar 25 hingga 30 darjah Celsius.

Mohd. Azpuri memberitahu, Jabatan Taman dan Landskap mula mengenal pasti keistimewaan pokok getah tersebut sejak dua tahun lalu.

Jelasnya, rentetan itu pihaknya telah melakukan penyelidikan secara terperinci bagi mengenal pasti jenisnya, tahun pokok dan tahap kesihatan pokok getah berkenaan.

Justeru, pihaknya telah merujuk kepada pakar di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi mendapatkan data sahih.

"Saya telah berjumpa dengan seorang rakan di FRIM, dia maklumkan pokok getah ini sudah tua dan tumbesarannya sudah perlahan.

"Meskipun begitu, keadaannya sihat dan tiada tanda-tanda pereputan. Kami juga telah menyembur racun anai-anai secara berkala.

"Pokok ini juga masih mempunyai susu getah walaupun sudah berusia ratusan tahun. Biasanya pokok getah akan kehabisan getah selepas menjangkau usia tiga dekad," katanya.

Hasil penilaian pokok getah berkenaan mengikut piawaian kualiti fizikal dan sosial antarabangsa menunjukkan ia bernilai RM3.8 juta.

Sementara itu, Ketua Unit Pelancongan Komuniti dan Perhubungan Awam MPS, Shamaruddin Saidin memaklumkan, pihaknya telah mengambil inisiatif untuk memelihara pokok getah berkenaan sebagai salah satu warisan Negeri Sembilan.

Jelasnya, pokok itu akan dijadikan sebagai salah satu daya tarikan baharu pelancong ke negeri yang terkenal dengan adat Minangkabau itu.

"Kami baru sahaja memagar kawasan ini bagi mengelakkan pelawat merosakkan khazanah tidak ternilai ini seperti menoreh bagi mengeluarkan getah.

"Langkah memagar ini juga dapat menggelakkan tanah di sekitar pohon ini mendap apabila dipijak oleh pengunjung.

"Kami turut menempatkan beberapa papan tanda bagi memberi informasi kepada pengunjung mengenai sejarah pokok ini," katanya.

Pada sebelah malam, pokok getah tersebut diterangi dengan cahaya lampu. Shamaruddin memberitahu, pokok getah tersebut mempunyai kelebihan dan tarikan tersendiri.

Tegasnya, pokok getah itu terletak di kawasan taman rekreasi yang luas dan tidak terganggu dengan arus pembangunan.

"Pokok getah di Kuala Kangsar terletak di tepi jalan besar. Jadi, ia sedikit sebanyak telah mengganggu pembesarannya.

"Berbeza dengan pokok getah ini yang hidup di kawasan berbukit dan luas. Ia juga dilengkapi kemudahan untuk para pelawat melihat dan bergambar," katanya.

Pokok getah pertama dan tertua di Negeri Sembilan yang masih mempunyai susu getah itu dipercayai ditanam oleh penjajah British bagi mengenal pasti potensi industri getah di negara ini.

http://www.kosmo.com.my/k2/rencana-utama/pokok-getah-tertua-bernilai-rm3-8-juta-1.689997


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo