NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penduduk Terbabit 'KT By-Pass' Kemuka Kembali Rayuan Kepada Kerajaan Baharu

Oleh : Rohayati Ripin (2R)

KUALA TERENGGANU – Penduduk yang terbabit dengan projek pembinaan jalan 'KT- ByPass' dipohon supaya menghantar kembali rayuan secara rasmi kepada pihak kerajaan baharu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, isu berkait pembinaan jalan pintas itu, yang melibatkan rakyat telah diperjuangkan bersama jawatankuasa bertindak sebelum pilihan raya.

Menurutnya, kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan bekas Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman telah menolak untuk berjumpa dengan Jawatankuasa tersebut.

Katanya, beliau akan mengambil perhatian dengan berjumpa dengan jawatankuasa tersebut untuk menyelesaikannya.



"Kita telah mengadakan perbincangan yang melibatkan pemilik tanah dan sebahagian daripadanya juga termasuk peniaga yang terlibat yang sebelum ini yang berniaga mencari makan di sana,

"dan kami telah pun panjangkan (perkara ini) kepada Menteri Besar YAB Ahmad Samsuri Mokhtar dan telah memberi persetujuan secara lisan bahawa YAB akan melihat sendiri perkara ini serta mempertimbangan sewajarnya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Kesyukuran di perkarangan Pusat Tarbiyah DUN Wakaf Mempelam, Kubang Parit pada Isnin, 18 Jun.

Oleh itu, beliau akan terus mengambil serius tentang perkara tersebut dan tidak menunggu lama serta sudah berbincang dengan Exco atau Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Wakaf Mempelam YB Ustaz Wan Sukairi Abdullah.

"Ini adalah perjuangan yang melibatkan kepentingan rakyat yang perlu dijaga kebajikan mereka,

"dan insya Allah saya percaya pentadbiran yang baru di bawah YAB Menteri Besar akan memberi pertimbangan yang lebih baik kepada mangsa yang terlibat di dalam isu tersebut," ujarnya.

Menurutnya lagi, beliau menunggu proses yang selanjutnya dan tindakan segera akan diambil.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo