NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemilihan Umno: Ramai Calon Bertanding, Tawar Pilihan Terbaik


TEMERLOH – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan jumlah calon yang ramai untuk bertanding pelbagai jawatan dalam pemilihan parti 30 Jun ini akan menawarkan "pilihan terbaik" kepada anggota parti.

Beliau berkata perwakilan berpeluang 'membuat pilihan terbaik' daripada senarai calon yang bertanding untuk menerajui UMNO.

"Ibu pejabat telah mengaturkan pertemuan semua calon daripada semua peringkat untuk pergi ke negeri-negeri bagi memberi peluang kepada calon untuk memperkenalkan diri… ini juga membolehkan mereka mengenali perwakilan seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Khas dan Jamuan Hari Raya anjuran UMNO Pahang di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis yang diadakan secara tertutup itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan timbalannya Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin serta barisan kepimpinan UMNO negeri.

Hadir sama dua calon timbalan presiden iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan dan Tan Sri Annuar Musa, empat daripada tujuh calon naib presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta calon Ketua Wanita Datuk Noraini Ahmad.

Ahmad Zahid yang akan bertanding bagi jawatan nombor satu parti berkata Pahang merupakan destinasi pertama beliau dalam 'berkempen' dan akan diteruskan ke negeri-negeri lain dalam tempoh yang masih berbaki kira-kira 10 hari sebelum hari pemilihan.

Ketika diminta mengulas cabaran calon bagi jawatan presiden parti Tengku Razaleigh Hamzah untuk berdebat, Ahmad Zahid hanya menjawab ringkas "Tidak apalah… itu cadangan daripada dia (Tengku Razaleigh) sahaja".

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li dalam satu wawancara di televisyen semalam, 'mencabar' Ahmad Zahid dan seorang lagi calon bagi jawatan presiden parti Khairy Jamaluddin untuk berdebat sebelum pemilihan parti.

Ku Li dilaporkan sebagai berkata tindakan berani beliau membuat penjelasan terhadap sesuatu isu seharusnya diikuti calon lain yang berhasrat untuk merebut jawatan yang ditinggalkan Datuk Seri Najib Tun Razak itu. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo