NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PBB: Tiada pertemuan Abang Johari-Zahid bincang penubuhan GPS


Tiada pertemuan antara Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membincangkan penubuhan GPS. ― Foto oleh Sulok Tawie

KUCHING, 21 Jun - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini menafikan ada pertemuan antara Ketua Menteri yang juga Presiden parti Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ketua Penerangan PBB Datuk Idris Bujang berkata dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali.

"Tidak ada pertemuan dan perbincangan sedemikian. Presiden kami secara jelas mengumumkan keputusan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan pembentukan GPS adalah persetujuan bersama yang dilakukan hanya atas satu sebab iaitu untuk memperjuangkan hak Sarawak secara berkesan," kata Idris dalam kenyataan, di sini.

Kenyataan Idris itu bagi menjawab klip video yang dikatakan memaparkan Ahmad Zahid berucap di hadapan hadirin yang tidak dikenali berhubung pertemuan dan perbincangan beliau dengan Abang Johari mengenai sebab empat parti tempatan – PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak, Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progresif keluar BN untuk membentuk GPS.

Mengulas lanjut, Idris berkata GPS akan bergerak sebagai satu barisan yang bersatu dan bebas daripada campur tangan luar sama ada daripada bekas sekutu mahupun parti lawan dalam hal ehwalnya dan juga keputusan yang dibuat.

Katanya kerajaan GPS 'berpisah sepenuhnya' daripada BN dan akan menumpukan sepenuh usaha tanpa kompromi untuk mengambil balik hak Sarawak yang dilanggar serta akan melakukannya tanpa rasa takut.

"Bagi kami dalam GPS, kebanyakan isu yang menjejaskan prestasi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu tidak ada kena-mengena dengan kami di Sarawak," kata Idris.

Beliau berkata kerajaan GPS di bawah kepimpinan Abang Johari mempunyai rekod cemerlang sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab dan akan terus berdedikasi berkhidmat kepada rakyat.

"Keutamaan terpenting kami sekarang ialah memastikan semua rakyat Sarawak akan terus diberi khidmat dan keperluan asas mereka, terutamanya yang tinggal di pedalaman, dipenuhi sebaik mungkin," katanya. ― Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo