NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS harap kerajaan terus jadi fasilitator rundingan damai



PAS berharap Kerajaan Malaysia meneruskan peranan sebagai fasilitator dalam rundingan damai di wilayah Selatan Thai yang sedang berlangsung antara Kerajaan Thailand dan Majlis Syura Patani (MARA Patani).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, komitmen yang ditunjukkan kerajaan sejak 2006, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat, mesti diteruskan

Katanya, walaupun berlaku perubahan kepimpinan kerajaan selepas PRU14 lalu, Malaysia tidak wajar menghentikan peranan yang telah dijalankan, sebaliknya mesti terus bersikap proaktif untuk mengembalikan keamanan serta kestabilan sosiopolitik di wilayah bergolak berkenaan khususnya dan rantau Asean umumnya.

"Jika disorot peranan yang telah dilakukan oleh Malaysia pada tahun 2006, YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah bertindak sebagai fasilitator dalam Rundingan Damai Langkawi antara Kerajaan Thailand dan koalisi BERSATU.

"Satu pelan damai juga telah dirangka dan beberapa mesyuarat susulan telah dijalankan selepas itu. Usaha Malaysia sebagai fasilitator rundingan damai tetap diteruskan di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima dan keenam.

"Komitmen ini juga merupakan satu simbolik pro keamanan dan kecaknaan negara terhadap nasib umat Islam sedunia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nasrudin berkata, PAS sentiasa konsisten menunjukkan sokongan terhadap usaha kerajaan sebagai fasilitator dalam mana-mana rundingan damai yang telah dan akan dijalankan di rantau ini.

Contohnya, PAS telah mengalu-alukan kejayaan Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik di Mindanao pada tahun 2012. Malah, PAS turut menggesa kerajaan agar berusaha merealisasikan pelan damai di wilayah Selatan Thai dan mesti menjadikan urusan ini sebagai agenda penting nasional. Hal ini termasuk juga merangka usaha-usaha pembelaan terhadap nasib umat Islam Rohingya, Myanmar, katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo