NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

NUTP dedah TVET ketinggalan dan diurus 7 Kementerian


Setiausaha Agung Harry Tan Huak Hock berkata bidang automotif masih mengajar kaburetor di era enjin hibrid dan ada sijil tak diiktiraf. Harry berkata kekurangan tenaga pengajar boleh menyebabkan kegagalan TVET.

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendedahkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) diurus 7 kementerian dan ketinggalan dari segi teknologi yang diajar kepada penuntut.

"Dasar TVET sentiasa berubah-ubah, tiada koordinasi tepat dan kurang pembiayaan atau lebih tepat tiada bajet mencukupi disebabkan tiada perancangan rapi," kata Setiausaha Agung Harry Tan Huat Hock.

Harry memberi contoh bidang automotif masih mengajar kaburetor di era enjin hibrid, dan walaupun ia diurus 7 kementerian, ada sijil keluaran kementerian tidak diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Ini sebahagian perancangan yang tidak dijalankan dengan betul mengenai pelan modal insan terutamanya latihan kemahiran yang mana ia adalah kaedah atau trend masa depan terhadap permintaan kemahiran," katanya.


NUTP berkata demikian selepas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata pihaknya akan meminta laporan daripada agensi berkaitan mengenai kewujudan institut kemahiran bawah kementerian selain Kementerian Sumber Manusia.

Menteri mahu semua institusi kemahiran diletakkan bawah satu bumbung dan institut kemhiran kerajaan sepatutnya bersaing dengan sektor swasta dan negara luar, bukan sesama kementerian.

Harry berkata bidang teknikal dan vokasional sangat mustahak kerana lepasan akan mengurangkan penggantungan kepada sumber tenaga asing tetapi kekurangan tenaga pengajar Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) boleh menyebabkan kegagalan TVET.

"Sekolah harian yang jalankan program SKM juga gagal ditauliah dan pelajar berdepan masalah sijil. Pengajar SKM tahap 1 hingga 5 pula tidak dapat meneruskan pengajaran dalam bidang SKM. Ini adalah syarat yang ditetapkan.

"Akhirnya anak didik kita menjadi mangsa kerana tiada pengajar dalam bidang SKM," katanya.

Terdahulu, NUTP dilaporkan mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyelesaikan 5 kategori masalah dan 14 perkara dalam TVET kerana "tiada dasar dan hala tuju".

Beliau berkata sistem pendidikan masa kini perlukan tokoh berkaliber dan tahu hala tuju pendidikan untuk menyelesaikan masalah berbangkit, dari pentadbiran ke sumber manusia, prasarana, perkhidmatan, keselamatan dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo