NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Musa umum letak jawatan


KOTA KINABALU 10 Jun - Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman sah meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menerusi surat yang dihantar pada 26 Mei lalu.

Perkara itu diumumkan Jawatankuasa Eksekutif SAFA hari ini yang turut mengumumkan Datuk Lawrence Gimbang dan Datuk Harun Ismail meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden serta Naib Presiden berkuat kuasa esok.

Setiausaha Agung SAFA, Alijus Sipil berkata, keputusan itu bagi membolehkan peralihan pentadbiran SAFA ekoran pertukaran pemerintahan kerajaan negeri yang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bulan lalu.

"Ia juga berdasarkan nasihat pegawai Pesuruhjaya Sukan Sabah yang memaklumkan kepada kami bahawa peletakan jawatan secara blok atau keseluruhan tidak boleh dilakukan kerana ia akan mengakibatkan SAFA terpaksa dibubar dan perlu didaftar semula. Ini mengambil masa yang panjang.

"Sehubungan itu, keputusan terbaik ialah peletakan jawatan penting dalam persatuan ini melibatkan presiden, timbalan presiden serta seorang naib presiden," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SAFA, hari ini.

Satu lagi jawatan Timbalan Presiden SAFA turut kosong susulan kematian bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Mac lalu.

SAFA akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa Rabu ini bagi membolehkan kongres tahunan diadakan secepat mungkin, seterusnya mengisi jawatan yang ditinggalkan.

"Berdasarkan Perlembagaan SAFA untuk mengadakan kongres ia memerlukan 90 hari dan bagi kami ia satu jangka masa yang panjang.

"Bagaimanapun, kita boleh memendekkan tempoh itu menerusi mesyuarat agung luar biasa dan kita akan bentangkan untuk memendekkan tempoh 90 hari itu kepada 14 hari dan sekiranya tiada sebarang halangan, kongres tahunan bakal diadakan pada 5 Julai," katanya.

Katanya lagi, Datuk Yusof Kassim yang juga Naib Presiden SAFA akan memangku tugas sebagai presiden sehinggalah kongres diadakan.




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo