NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mukhriz yakin calon Speaker DUN Kedah diterima?


KUALA LUMPUR: Pertikaian memilih Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan menemui titik noktah kerana Pakatan Harapan (PH) optimis akan mendapat undian daripada blok pembangkang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, ketika menyuarakan keyakinan itu berkata calon bagi jawatan Speaker DUN dan Timbalannya sudah dihantar ke pejabat Setiausaha Dewan, Ahad lalu.

"InsyaAllah kita akan dapat undian lebih daripada 18. Tunggu dan lihat," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis taklimat Ahli Dewan Rakyat, Parlimen Ke-14, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pertikaian yang masih berlanjutan berhubung pemilihan Speaker dan Timbalan Speaker DUN Kedah, termasuk desakan daripada PAS supaya calonnya diberi keutamaan dalam menyandang jawatan itu bersandarkan kerusi dimenangi parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Keputusan PRU-14 lalu menyaksikan PH memenangi 18 kerusi DUN daripada 36 kerusi, manakala PAS dan BN masing-masing memiliki 15 dan tiga kerusi.

Mengulas hak PH untuk menentukan calon jawatan berkenaan, Mukhriz berkata, PAS menyuarakan hasrat melantik individu yang bukan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah, sekali gus mencetuskan percanggahan aspek percaturan kuasa.

"Bayangkan sekiranya PH terima pencalonan Speaker daripada PAS, iaitu individu bukan ADUN, maka pembangkang akan berpeluang menambah undian dalam dewan menjadi 19, iaitu lebih daripada kerajaan.

"Oleh itu, mustahil kita terima perkara ini, dan saya sudah terangkan kepada PAS bahawa mana mungkin kerajaan mempunyai jumlah kerusi yang kurang daripada pembangkang," katanya.

Menepis dakwaan segelintir pihak, Mukhriz yakin polemik yang tercetus susulan pemilihan jawatan Speaker dan Timbalan Speaker DUN Kedah berupaya diselesaikan secara aman dan mendapat persetujuan majoriti ahli dewan menjelang 4 Julai ini.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo