NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Melaka ambil speaker dari UMNO?


AYER KEROH: Sekurang-kurangnya dua individu dicalonkan untuk dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Sidang DUN Melaka Penggal Ke-15 yang dijadual diadakan pada 19 Julai ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata individu yang dikenal pasti itu terdiri daripada ahli politik semasa Melaka dan keputusan mengenainya akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa hari sebelum sidang DUN berlangsung.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Speaker DUN ketika ini, Datuk Wira Othman Muhammad disenaraikan semula sebagai calon jawatan berkenaan.

"Sama ada penyandang Speaker kekal atau tidak, akan kita memuktamadkan nanti," katanya pada sidang media di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Othman yang menyandang jawatan itu selama dua penggal bersama kerajaan Barisan Nasional (BN) dilaporkan bersedia menerima semula jawatan terbabit jika dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Malah, beliau juga dilaporkan akan menyertai satu daripada empat parti komponen PH jika diminta berbuat demikian.

Pada sidang media itu juga Adly mengumumkan lantikan baharu beberapa ketua jabatan negeri berkuat kuasa 2 Julai ini.

Ia membabitkan Jamzuri Ardani sebagai Pengurus Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dan G Rajandran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej Sains dan Teknologi Antarabangsa Melaka (MiCOST).

Turut dilantik, Zaipul Anwar Zainu (CEO Institut Tun Perak); Azizan Hassan (Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad); Zaini Zainal (CEO Melaka Halal Hub); Lim Kwol Thuan (CEO Perbadanan Bioteknologi Melaka), Farhan Ibrahim@Alias (Bendahari Persatuan Bola Sepak Melaka) dan Wahab Ibrahim (CEO Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka).

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju memansuhkan Bahagian K-Ekonomi, Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) dengan semua kakitangan sedia ada diserapkan ke Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi JKMM berkuat kuasa serta-merta.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/06/442774/othman-dilantik-semula-speaker-dun-melaka

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo