NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lawatan pelancong asing ke masjid dihenti serta merta



BANGI, 10 Syawal 1439H, Ahad – Pihak Pengurusan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBR) mengambil keputusan menghentikan serta merta lawatan semua pelancong asing ke masjid itu.

Keputusan itu dibuat susulan selepas sebuah video tular di media sosial memaparkan tindakan dua pelancong asing yang mempamerkan perbuatan tidak senonoh di atas pagar masjid berkenaan.

Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Jamal Tun Sakaran berkata, pihak pengurusan tertinggi MBR kesal terhadap tindakan segelintir pelancong terbabit, walaupun sudah diberi penerangan mengenai tertib di sekitar masjid.

"Berikutan daripada kejadian itu juga, pihak MBR memutuskan dengan serta merta bahawa semua Bas Ekspres, 'Grab Cars' serta Teksi TIDAK DIBENARKAN membawa pelancong masuk ke kawasan dan sekitar masjid (melainkan teksi yang sudah berdaftar dengan MBR).

"Larangan ini termasuklah tidak membenarkan Bas Ekspres, 'Grab Cars' serta Teksi meletakkan kenderaan (parkir) di luar masjid seperti yang biasa diamalkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan masjid juga mengambil keputusan menambah anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA), yang akan ditempatkan di luar pagar MBR sebagai usaha memantau dan mengelakkan insiden sama berulang.

"Justeru, bagi menjaga imej dan kesucian agama Islam dan masjid di samping meneruskan kelestarian industri pelancongan di Sabah, pihak MBR akan mengadakan perbincangan lanjut bersama agensi berkaitan pelancongan bagi mencari solusi terbaik yang akan memberi manfaat kepada semua pihak.

"Idea bernas, cadangan dan pandangan pihak berkaitan juga diperlukan dari semasa ke semasa untuk memantapkan dakwah Islamiah dan sektor pelancongan.

"Pihak MBR merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang prihatin dan peka berkenaan klip video yang tular itu. Pihak MBR juga menghormati pandangan dan komen saudara saudari," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/06/24/lawatan-pelancong-asing-ke-masjid-dihenti-serta-merta/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo