NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lailatul Qadar: Umat Islam Palestin serbu Masjid Al-Aqsa



BAITULMAQDIS, 29 Ramadan 1439H, Rabu – Ratusan ribu umat Islam Palestin tidak mempedulikan kawalan ketat askar rejim pengganas Israel, untuk memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa malam semalam – malam yang dijangkakan berlakunya Lailatul Qadar – untuk beribadah.

Jabatan Waqf al-Aqsa yang bertanggungjawab menjaga kesucian masjid ketiga suci umat Islam, menganggarkan kira-kira 350,000 umat Islam Palestin memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa bagi menyertai solat Tarawih dan beribadat sehingga awal pagi.

Rakyat Palestin percaya Lailatul Qadar biasanya berlaku pada malam ke 27 Ramadan – malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan – sehingga menyaksikan mereka tidak melepaskan peluang beribadah di Masjid Al-Aqsa.

Baitulmaqdis diduduki secara haram oleh rejim Zionis Israel, yang mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS), dan dikawal ketat oleh askar rejim.

Ratusan ribu umat Islam Palestin memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa walaupun dikawal ketat askar rejim pengganas Israel.



Malah, malam tadi, jumlah anggota tetera rejim pengganas Israel ditambah di seluruh pusat pemeriksaan dan pintu masuk ke Baitulmaqdis Timur yang menempatkan Masjid Al-Aqsa.

Jalan utama ke bandar lama itu ditutup kepada semua lalu lintas, sementara bas yang membawa rakyat Palestin ditahan dan diperiksa rapi.

Rakyat Palestin dari Tebing Barat biasanya perlu mendapatkan permit daripada rejim Israel untuk memasuki Baitulmaqdis Timur. Tetapi, kebiasaannya mereka gagal mendapat kebenaran.

Berikutan itu, sesetengah pemuda Palestin mengambil keputusan nekad untuk memanjat tembok pemisah antara Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat, yang didirikan rejim Zionis.

Walaupun sesetengahnya ditangkap, ratusan ribu umat Islam Palestin berjaya memasuki Tanah Suci itu malam tadi. Kanak-kanak, lelaki muda dan tua, gembira berada di pekarangan Masjid Al-Aqsa walaupun terdapat halangan. – Agensi



Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/06/13/lailatul-qadar-umat-islam-palestin-serbu-masjid-al-aqsa/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo