NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ku Li paling layak jadi presiden Umno?


Ahli-ahli parti Umno bakal membuat keputusan yang paling penting dalam masa terdekat bagi menentukan survival parti dan memastikan parti terus relevan.

Kita hanya akan dapat membuat keputusan yang tepat jika kita mendengar dan menerima pandangan dari ahli akar umbi. Kita juga perlu mendengar dan menerima pandangan masyarakat dan tidak boleh lagi berada di dalam sindrom penafian.

Oleh itu, saya telah berjumpa dan mendengar pandangan seberapa ramai mungkin ahli-ahli akar umbi dan juga mendengar pandangan daripada masyarakat tentang siapa yang paling layak menerajui parti Umno pada ketika ini.

Berdasarkan maklum balas yang saya terima, Umno memerlukan seorang pemimpin yang pengalamannya dapat membawa parti Umno ke arah pembaharuan dalam menyemai semula nilai-nilai murni yang ada pada Umno seperti dipermulaan lahirnya parti ini.

Seorang pemimpin yang intelektual untuk berhadapan dengan gergasi pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN).

Seorang pemimpin yang berwibawa, yang berjalan di atas landasan yang disenangi oleh rakyat dari segi perwatakannya dan ideologinya. Seorang pemimpin yang mempunyai buah fikiran untuk mengerakkan parti ke arah destinasi seperti pada zaman kegemilangan parti Umno yang kita sayangi ini.

Apa yang lebih penting, kita memerlukan seorang pemimpin yang dapat membuktikan kepada rakyat Malaysia yang Umno benar-benar ikhlas dalam mahu berubah kepada Umno yang mereka hormat dan rindui, Umno yang ditubuhkan untuk membela nasib rakyat Malaysia.

Berdasarkan maklumat yang saya terima, orang yang paling layak untuk memegang jawatan presiden Umno pada ketika ini ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Seorang yang menepati gambaran yang telah saya sebutkan di atas.

Ini adalah pandangan ikhlas dan peribadi saya yang tidak mencerminkan mana-mana pihak. Saya membuat pandangan ini setelah mendapat maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Saya sedar dan insaf bahawa perjuangan kita selepas ini menuntut kepada keberanian yang luar biasa. Ia menuntut kepada keberanian untuk menyuarakan dan melakukan apa yang benar, walaupun ada pihak yang mungkin tidak senang dengan apa kita katakan dan lakukan.

Pandangan saya ini lahir dari hati saya yang bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk menyelamatkan parti yang saya sayangi ini.


ONN HAFIZ GHAZI merupakan ketua Pemuda Umno Sembrong dan merupakan cicit kepada pengasas Umno Datuk Onn Jaafar.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo