NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kota 'berjiwa', Semarang boleh buat anda jatuh hati!


OLEH: WAN AZFAROZZA WAN ATHMAR

PEPATAH Melayu ada menyatakan tak kenal maka tak cinta. Untuk mencintai pada dasarnya datang dari mata jatuhnya ke hati.

Dan untuk jatuh cinta dengan sesebuah kota tidaklah mudah, namun baru-baru ini saya dan rakan telah jatuh cinta dengan sebuah kota di Indonesia yang bernama Semarang saat berpeluang menjejakkan kaki ke sana.

Ia merupakan ibu kota wilayah Jawa Tengah dan membangun seiring dengan kota-kota besar lain di tanah Jawa.

Melihatkan Kota Semarang kini, perubahan pesat terutamanya dari aspek pelancongan mampu membuatkan pengunjung merasai keghairahan untuk meneroka lebih banyak lokasi di setiap sudut kota. 



Kawasan perniagaan Pasar Semarangan Tinmojoyo yang menggunakan e-transaksi untuk jualan

Namun, untuk memahami kota Semarang pada masa kini kita juga perlu menoleh ke belakang dan menyingkap sedikit sejarah silam kota ini.

Asal nama Semarang bermula apabila wilayah ini menjadi subur dan ditanami pohon asam arang. Lantas terus dikenali sebagai Kota Semarang. Belanda merupakan penjajah yang banyak meninggalkan kesan peninggalan sejarah walaupun pihak Portugis juga pernah melebarkan kuasa penaklukannya di kota ini.

Antara peninggalan penjajahan Belanda yang masih dapat dilihat hingga ke hari ini ialah Kota Lama. Kota Lama pada suatu ketika merupakan tempat gelandangan namun wajahnya kini berubah.

Restorasi bangunan pentadbiran bekas penjajah Belanda ini dirasakan dan kini ia merupakan sebahagian daripada penceritaan Kota Semarang. Jolokan Little Netherland diberikan dan usaha bagi mendapatkan status kota warisan Unesco sedang dipergiat di situ.

Antara tempat-tempat lain yang harus dikunjungi di kawasan kota ialah Gereja Blenduk, Stesen Keretapi Tawang, Bangunan Marba dan Semarang Kreatif Gallery.

Satu lagi lokasi wajib dikunjungi di tengah kota Semarang ialah Pagoda Avalokitesvara. Bangunan kuil Buddha setinggi 45 meter dengan tujuh tingkat ini merupakan satu metafora di mana seorang yang bertapa akan mencapai kesucian pada tingkat yang ketujuh.

Setiap tingkat terdapat empat buah patung Dewi Kwan Im yang menghadap ke empat penjuru. Terletak di Jalan Perintis Kemerdekaan, ia dibuka kepada umum setiap hari.

Dari hutan batu, kami menelusuri hutan hijau di Semarang. Hutan Tinmojoyo bukanlah hutan rekreasi yang biasa kita kunjungi.

Di sebalik kehijauan flora dan fauna yang meredupkan mata memandang, hutan ini menjadi prasarana kepada e-transaksi yang berlaku di antara pengunjung dan peniaga yang berniaga di hutan rekreasi ini.

Dikenali sebagai Pasar Semaragan Tinmojoyo ia merupakan pasar digital yang menjual pelbagai jenis makanan tradisional, Asia dan juga barat. Gerai peniaga diperbuat daripada bambu bagi mengikut tema persekitaran flora dan fauna.

Apa yang perlu dilakukan oleh pengunjung ialah membeli kad e- money BNI di lokasi yang disediakan dan seperti sistem kad pra-bayar yang lain anda hanya perlu meletakkan sejumlah wang di dalam kad tersebut dan menggunakan kad untuk segala urusan jual beli.




Dari warna alam yang menenangkan, kita beralih kepada jamuan mata warna-warna pelangi. Namun, pelangi ini bukanlah kejadian alam semulajadi, ia merupakan ciptaan manusia yang inginkan perubahan.

Kampung Pelangi yang dahulunya merupakan penempatan penduduk miskin berubah wajah apabila pihak pentadbir kota Semarang selesai melaksanakan transformasi kepada Pasar Bunga Kalisari yang terletak berhadapan dengan kawasan penempatan ini.

Memperlihatkan jurang perbezaan pembangunan dua kawasan ini maka pihak pentadbir mengambil keputusan untuk turut melakukan transformasi kepada penempatan ini. Kini, Kampung Pelangi merupakan salah satu ikon lokasi pelancongan di Kota Semarang.

Ia merupakan lokasi wajib untuk dikunjungi terutamanya apabila Kampung Pelangi mula menular di media sosial di dalam dan luar negara. Rupa penempatannya yang persis penempatan di Rio de Janeiro, Brazil membuatkan lokasi ini popular di kalangan pengunjung.


Kelestarian Kota Semarang pada hari ini dan penceritaan kisah silamnya diraikan dengan penuh gilang gemilang di Semarang Night Carnival.

Pada tahun ini Kota Semarang menyambut ulang tahun ke-471. Bersandarkan kepada empat tema - art deco, rama-rama, lautan dan asem arang (pohon asam) pengunjung dijamu dengan limpahan warna, reka bentuk kostum dan alunan muzik.

Ia merupakan pesta yang meraikan kemewahan budaya kota itu, penduduk kota serta pengunjung yang dianggap sebagai tetamu yang paling dihargai.

Kemeriahan Semarang Night Carnival ini bukan sahaja diraikan oleh penduduk kawasan setempat malah wakil dari negara Korea Selatan dan Taiwan turut sama berarak dan memberikan persembahan yang menarik.

Sorotan kisah kota Semarang terletak pada cerita silamnya, penduduknya, bangunan bersejarah yang masih berdiri kukuh serta transformasi kota itu sekarang.

Masih banyak lagi kisah kota ini yang boleh dijejaki. Mengenali kota ini akan membuatkan pengunjung lebih memahami jiwa Semarang. Jejakkan kaki anda, fahami jiwa kota ini dan mungkin anda akan jatuh hati.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo