Kerajaan Pakatan Harapan Gagal Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan - GAMIS


1. Bermula tarikh 9 Mei 2018, terbentuknya kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga kini, kepimpinan tertinggi PH lebih ghairah bertutur dalam bahasa asing daripada bahasa kebangsaan.

2. Merujuk kepada Perjanjian PH yang dimeterai oleh 3 komponen parti kemudiannya disertai PPBM bernama Perjanjian Kerjasama PH-PPBM pada 13 Disember 2016 telah bersetuju dalam Perkara 1(iii):

"1. Berjuang dengan berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan 1957/63 terutamanya:

iii. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa."

Jelas menunjukkan kegagalan PH menunaikan janjinya untuk memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu.

3. Janji ini sekali lagi diulang dalam Buku Harapan yang dilancarkan pada 8 Mac 2018 pada bahagian Falsafah dan Matlamat Pentadbiran Pakatan Harapan dalam muka surat 10 sebagai janji kepada rakyat Malaysia untuk dilaksanakan sepenuhnya apabila membentuk kerajaan. Sepanjang 47 hari pemerintahan kerajaan PH, sidang media dan pertuturan bahasa asing dilihat lebih lazim pada mulut kepimpinan tertinggi PH berbanding bahasa kebangsaan.

4. Kebiadaban terhadap bahasa kebangsaan ini semakin meruncing apabila Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng (LGE) sewenang-wenangnya menggunakan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan untuk mengabsahkan tindakannya menulis kenyataan rasmi daripada Kementerian Kewangan dalam Bahasa Mandarin.

5. Merujuk kepada Perkara 152(1)(a) dan (6) Perlembagaan menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah digunakan dalam tugas rasmi kerajaan. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 juga telah mengukuhkan lagi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi maksud-maksud rasmi.

6. Tindakan YB LGE yang memetik Perkara 152 tanpa menelitinya secara keseluruhan merupakan satu tindakan yang memalukan dan menggadai maruah sebagai seorang rakyat Malaysia. Bukan sahaja beliau tidak menggunakan bahasa kebangsaan malah beliau mempertahankan tindakan yang memalukan ini.

7. Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia mesti bertanggungjawab penuh atas kegagalan untuk mendaulat & mendidik kepimpinan tertinggi kerajaan dalam menggunakan bahasa kebangsaan. Malaysia berdiri dengan budaya dan nilainya yang tersendiri. Sebarang bentuk penghakisan kepada ruh dan semangat perlembagaan mesti dihapuskan sepenuhnya sebelum menjadi lebih parah.

8. GAMIS Malaysia menuntut kerajaan Pakatan Harapan untuk menghormati dan taat setia kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Asas dan dasar ini wajib dipatuhi dan dipertahankan oleh pihak kerajaan.

"Istiqamah Bersama Islam"

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI adalah Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget