Kelantan: J/kuasa Tuntutan Royalti Urus Tuntutan


KOTA BHARU – Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan akan menguruskan hal-hal berkaitan tuntutan, pembayaran dan pengagihan royalti petroleum oleh kerajaan persekutuan kepada negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata setakat ini, kerajaan negeri hanya menunggu 'lampu hijau' daripada kerajaan persekutuan berhubung perkara tersebut selepas ia dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara baru-baru ini.

"Setakat ini (maklumat yang diterima berhubung pembayaran royalti adalah) apa yang disebut perdana menteri pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara (baru-baru ini). Jadi secara rasminya kita tunggulah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Aidifiltiri anjuran Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Nilam Puri di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sementara itu, Mohd Amar yang juga pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti berkata jawatankuasa itu dibentuk ketika Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih menjadi menteri besar Kelantan lagi.

"Jadi jawatankuasa ini merancang tindakan-tindakan sehingga kita ambil keputusan untuk menyaman Petronas di mahkamah. Jadi kalau kerajaan persekutuan setuju untuk membayar royalti tuntutan (untuk menyaman) itu tidak berbangkit lagi.

"Mungkin jawatankuasa ini boleh membincangkan kaedah-kaedah bayaran, jumlah bayaran dan kemudian jawatankuasa ini, Insya-Allah akan memberi pandangan-pandangan kepada kerajaan negeri untuk menyalurkan (penggunaan) royalti itu,"katanya.

Mohd Amar berkata jawatankuasa itu juga berharap agar kerajaan persekutuan dapat membuat bayaran tunggakan royalti sejak perjanjian itu dimeterai puluhan tahun lepas dengan anggaran kasar sebanyak RM700 juta setahun.

"Kita kalau boleh mahu supaya tunggakan-tunggakan dibayar tapi ia bergantung kepada persetujuan. Tapi kita nak tahu dahulu daripada kerajaan persekutuan berapa mereka nak bayar, sama ada lima peratus (seperti dalam perjanjian) atau 20 peratus seperti janji dalam manifesto.

"Kalau kerajaan persekutuan bayar lima peratus itu sudah baik sebab itu yang terkandung dalam perjanjian persekutuan tapi kalau mereka bagi 20 peratus itu lebih baik," katanya. – BERNAMA

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget