Kadir dakwa Media milik Umno BN bukan arus perdana lagi?



oleh: A KADIR JASIN

Saya cukup berminat memberi tindak balas kepada jemputan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim "go ahead and critise" (dipersilakan dan kritiklah) seperti yang dijadikan tajuk berita oleh akhbar The Sunday Star hari ini.

Tetapi mengambil pengajaran daripada respons beliau kepada tulisan saya dalam blog ini bertajuk "Constitution: The King and The Pauper" serta menghormati nasihat sahabat seperjuangan saya di Kumpulan New Straits Times dulu, saya akan berdiam diri.

Tetapi ini tidak menghalang saudara saudari menyahut pelawaan ketua umum Pakatan Harapan (HARAPAN) itu. Boleh bahas (kritik) di sini (blog saya) kalau mahu.

Sejak tahun 1980-an sampai sekarang sahabat saya itu sangat rapat dengan Anwar. Jadi bila dia berkata yang Anwar marah kepada saya pasal tulisan saya mengenai Yang di-Pertuan Agong, maka memanglah betul dia marah.

Almarhum ayah saya bagi nasihat, orang tengah marah jangan ditambah kemarahannya.

Lagipun saya ada mengulas mengenai kebebasan dan hak bersuara ini dalam tulisan di akhbar Sinar Harian hari ini. Kalau belum baca, boleh baca.



Apa yang saya nak bincang kali ini dicetuskan oleh bekas Pengarang Kumpulan NSTP, Mustapha Kamil, dalam Facebook beliau hari mengenai dilema media massa yang dulu tegar menyokong Umno/ Barisan Nasional.

Saya setuju dengan Mustapha yang kita perlu memahami apakah pendekatan dan hala tuju mereka selepas Umno/ BN disingkirkan oleh rakyat jelata pada 9 Mei lalu.

Mula-mula sekali label apakah yang hendak kita bagi kepada mereka. Label media arus perdana (MAP) tentunya sudah tidak sesuai sebab mereka bukan perdana lagi.

Arus perdana yang menjadi monopoli Umno/ BN selama lebih 60 tahun telah dipadamkan oleh tsunami rakyat pada 9 Mei lalu.

Umno/ BN hanya dapat dalam 34 peratus saja undi. HARAPAN 48.31 peratus dan Gagasan Sejahtera (PAS) dapat dalam 17 peratus. Jadi Umno/ BN bukan perdana lagi.

Mengaku media bebas ibarat sesumpah
Pengarang media milik parti-parti BN seperti Utusan Melayu, Media Prima/ NSTP dan The Star tentulah, kalau boleh, tentulah hendak mengaku diri mereka media bebas.

Betullah sejak kekalahan teruk Umno/BN dan kemenangan HARAPAN mereka mula memberi liputan kepada kerajaan baru HARAPAN. Dulu mereka bagi liputan kepada HARAPAN dengan tujuan mengutuk, menghina dan mempersendakan.

Selepas kemusnahan Umno/ BN hatta TV3 yang menjadi ketua kepada gerombolan media arus perdana ini pun sudah tukar kecenderungan ibarat sesumpah. Begitu juga dengan akhbar Utusan Melayu, Berita Harian, Kosmo, New Straits Times, Harian Metro danThe Star.

Tetapi bagi saya, mereka tidak layak mengaku diri mereka media bebas kerana masih dikuasai dan ditadbir oleh Umno/ BN.

Akhbar percuma The Sun milik tauke Sports Toto (Tan Sri) Vincent Tan itu pun tidak boleh dikira bebas kerana kecondongan pemberitaannya memihak kepada kerajaan Umno/BN.

Begitu juga dengan The Malay Mail yang dimiliki oleh (Datuk) Siew Ka Wei. Siew diketahui umum sebagai kawan akrab bekas perdana menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Yang boleh dianggap media bebas ialah akhbar Sinar Harian dan The Edge dan sedikit sebanyak saluran TV Astro Awani.

Hatta Bernama dan RTM pun banyak berbau politik Umno/ BN walaupun mereka sepatunya berkecuali 100 peratus kerana bukan milik parti tetapi milik negara.

Daripada apa yang saya hidu, TV3, Utusan Melayu, Berita Harian, Kosmo, New Straits Times, Harian Metro dan The Star masih mengamalkan dasar pro-Umno/ BN.

Media pro-Najib kabui mata umum

Laporan mereka berkenaan kerajaan baru HARAPAN lebih bertujuan mengabui mata umum bahawa mereka telah berubah.

Mereka juga oportunis dengan mengambil kesempatan daripada sokongan besar kepada HARAPAN untuk melariskan semula jualan mereka yang merudum kerana kebencian pelanggan terhadap kerajaan kleptokrasi Najib Razak.

Media milik Umno/ BN dan yang pro-Najib tidak akan mencapai kebebasan tulen dan berpanjangan selagi saham dan pengurusan mereka dikawal oleh parti-parti BN dan usahawan pro-Najib.

Soal masa depan pemilikan turut menjadi pertimbangan kritikal kerana boleh dikatakan semua media milik parti-parti BN, kecuali mungkin The Star, mengalami kerugian teruk.

Kerugian yang dideritai oleh Utusan Melayu semakin besar dan ia mungkin kehabisan modal dalam masa beberapa bulan berikutan kekalahan Umno.

Selama ini Umno dan kerajaan BN memberikannya bantuan kewangan dan kontrak sebagai talian hayat.

Hatta Kumpulan Media Prima/ NSTP yang satu masa dulu amat hebat prestasinya sehingga mampu membiayai penubuhan bank, stesen TV, telekomunikasi, perhotelan, hartanah, insurans dan pelancongan kini bernyawa ikan.

GLIC Tanggung Rugi

Penyelesaian masalah kewangan mereka menjadi semakin mendesak kerana sebahagian pemegang saham utama mereka – selain Umno – adalah tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Tabung Haji.

Dalam kes Media Prima, ada laporan mengatakan kerajaan Malaysia turut memiliki saham yang banyak. Kalau ini betul, maksudnya saham itu sekarang dimiliki kerajaan HARAPAN. Secara peribadi saya rasa tidak wajar kerajaan memegang saham dalam syarikat media.

GLIC pula tidak boleh terus memodali syarikat-syarikat milik Umno/ BN yang buruk prestasi kewangannya kerana ini akan memberi kesan negatif kepada pencarum dan pemegang unit mereka.

Kesimpulannya, oleh sebab kerajaan HARAPAN komited kepada kebebasan bersuara, maka adalah penting bagi kumpulan media milik parti-parti BN serta pengarang dan wartawan mereka memikirkan apakah peranan mereka dalam Malaysia baru ini.


Mereka perlu memikirkan harga diri, etika dan profesionalisme kewartawanan.


Mereka tidak boleh terus memperdagangkan mata pena mereka semata-mata kerana wang. Wartawan cari makan mungkin tidak ada tempat yang sah dalam dunia media era HARAPAN.

A KADIR JASIN ialah wartawan veteran dan mantan ketua pengarang Kumpulan NSTP. Tulisan ini terbit pertama kali di blog beliau.
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget