NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jelajah sokong Institusi Islam dan Raja Melayu...


Pemantau Malaysia Baru (PMB) akan menjelajah ke seluruh negara bagi mengumpulkan tandatangan orang ramai sebagai tanda sokongan kepada Institusi Islam dan Raja-Raja Melayu.

Presiden PMB, Datuk Lokman Noor Adam berkata pihaknya akan mengadakan himpunan aman di setiap negeri selepas waktu solat Jumaat setelah perhimpunan pertama yang dihadiri kira-kira 100 orang diadakan di perkarangan Masjid Negara pada Jumaat.

"Perhimpunan ini merupakan simbolik penentangan terhadap kumpulan yang cuba menghina institusi Islam dan raja Melayu.

"Kami bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam membantah sekeras-kerasnya apabila terdapat pihak yang bertindak memperlekehkan, menghina dan mengaibkan Yang di-Pertuan Agong dan secara langsung mencabar kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, " katanya ketika ditemui pemberita di sini.


Terdahulu, beliau yang mengetuai himpunan aman 'Selamatkan Raja-Raja Melayu´ itu berkata tandatangan yang dikumpulkan itu seterusnya akan dibawa menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Yang turut hadir ialah Timbalannya Datuk Azwanddin Hamzah dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Mohd Zuhdi berkata kehadirannya adalah atas kapasiti diri sendiri tanpa mewakili PAS dan ia bagi memberi sokongan kepada NGO berkenaan kerana perjuangan mereka selari dengan perjuangan PAS.

"Saya datang atas dasar peribadi dan setakat ini PAS belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS mengenai perkara (perhimpunan) ini.

"Saya akan menyertai jelajah perhimpunan ini ke seluruh negara, bagaimanapun penyertaan daripada pihak PAS belum diputuskan lagi oleh pucuk pimpinan parti...ia akan dibincangkan dalam mesyuarat yang akan datang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah ketika dihubungi Bernama berkata pasukan Polis Diraja Malaysia telah memantau keadaan sekitar perhimpunan berkenaan dan ia telah berlangsung dengan aman.

Beliau berkata tiada permohonan untuk mengadakan perhimpunan dibuat kepada polis namun perhimpunan hanya disertai kumpulan yang kecil dan tiada tindakan lanjut akan dikenakan.-23/6/2018

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo