NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hizbul Tahrir: Analisis Keputusan Pilihan Raya Umum Ke 14


oleh: Dr Wan Jeffrey

Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei lepas akhirnya telah berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) yang berjaya mendapat mandat daripada rakyat untuk membentuk kerajaan baru dengan majoriti mudah. Percaturan PH telah membuahkan hasil terutamanya dengan penglibatan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir yang berpengalaman luas dalam pentadbiran negara selama 23 tahun dan bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan Dato' Seri Najib Tun Razak daripada terus menjadi Perdana Menteri Malaysia. Kekalahan pada PRU ke-14 yang lalu merupakan satu tamparan yang besar buat Barisan Nasional (BN) dan Najib Tun Razak yang terpalit dengan pelbagai skandal kewangan terutamanya berkaitan 1MDB. Hal ini jelas telah menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang Perdana Menteri dan pengerusi parti pemerintah BN.

Sekalipun kedua-dua belah pihak (BN dan PH) menawarkan manifesto yang antara objektif utamanya adalah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, namun ternyata isu kos sara hidup bukanlah faktor utama yang menentukan pilihan pengundi pada PRU ke-14 yang lalu. Buktinya, negeri-negeri dibawah pemerintahan parti pembangkang seperti Selangor dan Pulau Pinang telah menyaksikan kenaikan kos sara hidup antara yang tertinggi di Malaysia selain negeri-negeri di bawah parti pemerintah seperti Putrajaya dan Johor.

Apa yang menjadi faktor utama kekalahan BN dan Najib Razak ialah kebencian majoriti rakyat Malaysia terhadap keangkuhan dan ketamakan barisan pemerintahan BN serta keghairahan rakyat yang mahu menjatuhkan Najib Razak. Inilah yang menjadi titik persamaan bagi parti-parti komponen dalam PH iaitu agenda untuk menjatuhkan Najib. Keberhasilan sesuatu pakatan bergantung kepada sejauh mana mereka memperjuangkan perkara yang sama dan mencipta "common enemy" yang boleh menyemarakkan lagi perjuangan mereka. Namun, setelah objektif mereka tercapai, maka mereka harus mencipta kesefahaman yang baru sekiranya ingin terus kekal dalam satu pakatan. Masalah ini dijangkakan akan timbul tatkala pada peringkat awal parti-parti komponen PH hanya bersatu dalam agenda untuk menjatuhkan Najib dahulu dan memandang bahawa ketidaksefahaman dalam kalangan mereka boleh ditangani kemudian.

Bagi BN pula, UMNO masih dilihat sebagai parti yang relevan sedangkan MCA dan MIC sudah tidak mempunyai peranan yang signifikan dalam arena politik di Malaysia. Hal ini demikian kerana pengundi Cina dan India majoritinya memilih PH. PAS walaupun bersendirian pada PRU kali ini, namun mereka masih dilihat mampu untuk mengekalkan bahkan melebarkan pengaruh dan sokongan terhadap mereka di Kelantan serta merampas kembali Terengganu sejak mengalami kekalahan pada PRU tahun 2004. Faktor pengundi melayu dilihat beralih daripada UMNO kepada PAS di pantai timur semenanjung, manakala di pantai barat semenanjung pula, undi Melayu sebahagian besarnya beralih kepada PH. Persoalannya, apakah strategi PAS setelah berjaya menguasai negeri Kelantan dan Terengganu? Adakah PAS mampu untuk terus memperjuangkan RUU355 pasca PRU ke-14 dan dalam masa yang sama parlimen dikuasai oleh PH yang didominasi kumpulan berfahaman liberal dan non-muslim?

Secara hakikinya, walaupun rakyat yang keluar mengundi bebas untuk membuat pilihan manakah parti yang ingin mereka pilih, namun pilihan tersebut langsung tidak berupaya menyelesaikan masalah rakyat yang tertekan dalam kehidupan negara sekular demokrasi ini. Masalah utama yang melanda rakyat Malaysia ketika ini ialah masalah yang berkaitan dengan sistemik. Ia berpunca daripada sistem ciptaan manusia yang gagal mengatur kehidupan manusia dan bukannya semata-mata berpunca daripada masalah pemimpin atau masalah parti yang korup. Rakyat umpama penumpang sebuah jentera kenderaan yang rosak lalu menyalahkan pemandu yang tidak cekap. Akhirnya rakyat bertindak untuk memilih pemandu lain yang dirasakan dapat menjalankan kenderaan yang masih rosak itu. Walhal, kenderaan yang rosak itulah (baca: sistem) punca utama segala permasalahan berlaku.

Hal ini dapat kita saksikan pada PRU ke-12. Selangor dan Kuala Lumpur telah jatuh ke tangan pakatan parti pembangkang sejak tahun 2008 lagi. Namun, adakah perubahan pemerintahan daripada BN ke pakatan pembangkang telah menjadikan kehidupan rakyat di kedua-dua negeri itu bertambah selesa ataupun sebaliknya? Kos rumah dan sara hidup di kedua-dua negeri yang diperintah oleh pakatan pembangkang telah naik berkali-kali ganda dan boleh dikatakan ia sebagai yang tertinggi di seluruh Malaysia. Sekiranya pemerintahan di kedua-dua negeri tersebut kembali semula ke tangan BN, ia sama sekali tidak akan berupaya untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup dan inflasi yang semakin meningkat. Hal ini demikian kerana masalah yang berpunca daripada sistem pemerintahan yang diterapkan tidak mampu membawa apa-apa perubahan yang sebenar. Begitu jugalah yang akan terjadi kepada PH yang telah berjaya membentuk kerajaan. Mereka tidak akan mampu untuk membawa perubahan asasi yang diperlukan.

Oleh itu, rakyat Malaysia umumnya dan umat Islam khususnya perlu sedar bahawa dengan mengundi semata-mata untuk menukar pemimpin tidak akan menyelesaikan masalah utama yang melanda di dalam mana-mana negara demokrasi sekular. Pelbagai masalah rakyat seperti inflasi, jurang perbezaan di antara kaya dan miskin yang semakin melebar dan masalah sosial berpunca daripada sistem kapitalisme yang dilaksanakan di Malaysia serta di negara-negara sekular yang lain seperti di Amerika, Eropah dan lain-lain.

Dr Wan Jeffrey adalah Ketua Lajnah Siyasiyah Hizbut Tahrir Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo