'HARAPAN terkapai-kapai tunai janji 100 hari'




Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) menyatakan komitmen untuk menunaikan janji dalam tempoh 100 hari selepas mereka berkuasa seperti termeterai dalam manifesto 'Membina Negara, Memenuhi Harapan'.

Janji atau tawaran 100 hari HARAPAN, antaranya menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar, menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta mengurangkan kos sara hidup menerusi pelbagai inisiatif peduli rakyat.

Janji lain termasuk menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum, memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dan menangguh bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam bergaji kurang RM4,000 sebulan.

HARAPAN juga berjanji mahu menghapuskan hutang peneroka FELDA, penghapusan tol, mewujudkan suruhanjaya dan jawatankuasa untuk menyiasat serta menangani isu menimbulkan kontroversi.

Namun, kini setelah hampir dua bulan HARAPAN memegang tampuk pemerintahan negara, tidak banyak komitmen janji manifesto mereka yang ditunaikan.

Hapus GST, isu 1MDB

Selain mengotakan janji penghapusan GST, mereka kini lebih banyak menumpukan usaha membongkar kesalahan didakwa dilakukan kerajaan terdahulu.

Ia termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menukar ketua jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang didakwa menjadi penyokong pemerintahan sebelum ini.

Malah, ada antara janji yang telah ditunaikan seperti penghapusan GST, tidak memberikan impak seperti mereka canangkan iaitu mengurangkan kos sara hidup. Ini disebabkan penghapusan GST setakat ini tidak menyaksikan penurunan ketara harga barang dan perkhidmatan.

Sekiranya kerajaan HARAPAN benar-benar ingin membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, mereka sepatutnya segera menghapuskan tol dan menurunkan harga minyak kerana kedua-duannya adalah kegunaan harian sebahagian besar rakyat negara ini.

Kerajaan HARAPAN memberikan alasan masalah kewangan negara `lebih teruk' daripada yang dijangkakan untuk menangguh atau belum menunaikan janji manifesto 100 hari mereka.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini mengumumkan kerajaan HARAPAN memutuskan untuk menangguhkan sementara beberapa inisiatif 'Janji 100 hari' sehingga keadaan kewangan negara bertambah baik.

Antara inisiatif akan ditangguhkan ialah subsidi petrol bersasar bagi kereta bawah 1300cc dan motosikal bawah 125cc, skim caruman KWSP untuk suri rumah, peningkatan gaji minimum, penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk peminjam bergaji kurang RM4,000 sebulan dan Skim Peduli Sihat.

Sebaliknya, tindakan gopoh-gapah dan drastik kerajaan HARAPAN membongkar kesalahan kerajaan terdahulu dan menguar-uarkan hutang negara mencecah RM1 trilion, telah memberikan impak negatif ke atas ekonomi negara.

Ini terbukti apabila prestasi pasaran saham menjunam ke paras terendah dalam tempoh beberapa tahun apabila indeks FBM KLCI kini berada di sekitar 1,660 mata berbanding selesa di atas paras 1,800 mata sebelum PRU14.

'Kesan parah dana umum'

Prestasi buruk Bursa Malaysia menyebabkan pelabur asing menarik keluar lebih dari RM11 billion dana mereka daripada pasaran saham tempatan manakala kejatuhan jumlah nilai pasaran (Market Capitalization) semua saham disenarai di Bursa Malaysia dianggar sudah melebihi RM200 bilion.

Akibat kejatuhan nilai saham ini tentu telah memberi kesan yang parah kepada dana-dana umum seperti KWSP, Tabung Haji dan ASN/ASB.


Kegusaran komuniti pelabur terhadap suasana pentadbiran semasa negara ini turut menjejaskan prestasi ringgit yang kembali menyusut di atas paras RM4 berbanding dolar. Sebelum PRU14, ringgit diniagakan stabil di bawah RM4 berbanding dolar.

Jika suasana semasa tidak ditangani dengan segera dan berkesan, Umno bimbang ia akan memberi kesan lebih serius ke atas ekonomi negara, sekali gus menambahkan beban rakyat jelata dalam menjalani kehidupan seharian.

Kerajaan semasa seharusnya menghentikan atau sekurang-kurangnya meminimumkan kempen mencari kesalahan pihak lain. Sebaliknya, mereka perlu menumpukan usaha mengembalikan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap Malaysia.

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget