NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Guna bahasa Melayu elak salah faham, Pemuda PPBM beritahu Guan Eng


Bahasa Melayu perlu diguna pakai dalam setiap urusan rasmi kerajaan, termasuk kenyataan rasmi atas kapasiti kerajaan. 

PETALING JAYA: Pemuda PPBM berkata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng perlu menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Cina dalam kenyataan rasmi kementeriannya bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham orang ramai berhubung pengumuman kerajaan.

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam semua kenyataan rasmi kerajaan perlu dijadikan prosedur dan diutamakan untuk hebahan media buat kali pertama.

"Kita harus berbalik kepada undang-undang yang diluluskan Parlimen Malaysia. Menurut Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi.

"Ini bermakna, ia dipersetujui bahasa Malaysia perlu diguna pakai untuk setiap urusan rasmi kerajaan, termasuklah kenyataan rasmi atas kapasiti kerajaan.


"Ia juga selari Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa kebangsaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Lim mempertahankan tindakannya selepas didakwa sesetengah pihak termasuk pemimpin Umno sebagai tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Setiausaha agung DAP itu berkata, penggunaan bahasa Mandarin melambangkan pengiktirafan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi.

"Menurut Perlembagaan Persekutuan, tiada orang boleh dihalang daripada bertutur, mengajar atau belajar bahasa lain. Atas semangat Perlembagaan, apa salahnya mengeluarkan kenyataan media yang diterjemahkan ke dalam bahasa Cina dan bahasa lain?"

Syed Saddiq berkata, kenyataan rasmi kerajaan kemudiannya boleh diterjemah kepada bahasa Inggeris sebagai sumber rujukan media asing dan bahasa ketiga jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

"Saya percaya tidak ada sebarang masalah untuk menterjemah mana-mana kenyataan rasmi kerajaan Malaysia."

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo