Gabungan Parti Sarawak realistik?


BUKAN acah-acah, tapi serius. Setelah beberapa minggu desas-desus bertiup kencang, akhirnya semalam 12 Jun, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersama tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak meninggalkan gabungan itu.

PBB disertai sama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) akhirnya membentuk pakatan baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas kejutan BN tumbang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, gabungan baharu itu akan membolehkan 'kami fokus kepada kepentingan dan hak Sarawak berdasarkan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963)'.

Hakikatnya, GPS terpaksa 'berpijak di bumi nyata'. Tindakan keluar BN itu demi survival dan penjenamaan semula dari segi slogan, lambang dan hala tuju empat parti itu di Sarawak di Sarawak.

Dengan kerajaan Pusat dikuasai Pakatan Harapan, bukan lagi BN, siapa lagi mahu diharapkan untuk memba­ngunkan Sarawak?

Ini apatah lagi Teras 4 dalam manifesto PRU-14 Pakatan Harapan menyebut untuk 'mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963'.

Kata janji berkenaan, Pakatan Harapan berpegang pada prinsip bahawa Sabah, Sarawak dan Semenanjung harus berpegang dengan semangat sebenar Perjanjian Malaysia 1963.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen. Pada PRU-14, gabu­ngan BN memenangi 19 kerusi secara keseluruhan manakala Pakatan Harapan pula menyaksikan DAP me­nguasai enam kerusi manakala PKR empat. Dua kerusi lagi dimenangi calon bebas.

Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mempunyai 82 kerusi. Daripada jumlah itu, BN memenangi 72 kerusi dalam pilihan raya negeri Mei 2016.

Realitinya, Sarawak perlu survive dalam kekalutan yang ditanggung oleh BN. Kerajaan Sarawak tempoh hari menyuarakan hak ke atas sumber minyaknya dan bersedia mengambil alih kuasa kawalan penuh ke atas industri huluan dan hiliran gas dan minyak negeri itu bermula Julai depan.

Tahun lalu, Abang Johari mengumumkan kerajaan negeri menubuhkan syarikat minyak dan gas, iaitu Petroleum Sarawak Berhad (Petros). Tujuannya untuk mengambil alih kuasa kawalan ke atas sumber petroleum di Sarawak.

Namun dengan tindakan Petronas memfailkan permohonan mahkamah untuk mengisytiharkan hak milik eksklusif ke atas sumber petroleum negara susulan langkah Sarawak menunjukkan perhatian lebih aktif terhadap sumber tempatan, telah menimbulkan kecelaruan.

Apakah semangat Pakatan Harapan dalam manifestonya itu dikongsi sama oleh Petronas?

Permohonan mahkamah oleh Petronas itu juga bertujuan mengisytiharkan Petronas sebagai pemilik eksklusif sumber petroleum dan pengawal industri huluan di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak.

Syarikat itu berkata, ia percaya ketetapan mahkamah akan memberi kejelasan tentang hak dan kedudukan kita di sisi undang-undang.

"Petronas terus komited membantu usaha Sarawak terlibat sama dalam industri minyak dan gas di negeri itu selagi ia berjalan dalam kerangka PDA," katanya.

Menurut Abang Johari tempoh hari, PDA dan undang-undang kontroversi yang sama, Akta Laut Wilayah (TSA) 2012 tidak relevan di Sarawak.

Sarawak turut mengingatkan kepada semua syarikat dalam industri minyak dan gas di negeri itu dan syarikat yang mahu menjalankan kerja-kerja prospek dan perlombongan perlu memiliki lesen, permit dan kelulusan yang diperlukan sama ada di bawah Ordinan Minyak dan Pelombongan dari 1 Julai.

Begitupun diyakini PBB yang menjadi induk GPS 'lebih tahu' mengapa mereka menggerakkan tindakan keluar BN semalam.

Apatah lagi Sarawak pun bukan `budak kecil' dalam mengharungi sepak terajang politik. Di antara tahun 1963 dan 1966, politik Sarawak mengalami pergolakan yang hebat disebabkan terlalu banyak parti politik sehingga mencetuskan krisis demi krisis yang sesetengahnya berbau perkauman. Krisis ini akhirnya tamat dengan pe­nyingkiran Datuk Stephen Kalong Ningkan sebagai Pre­siden SNAP.

Menggantikan tempat Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri baharu ketika itu ialah Penghulu Tawi Seli. Di dalam kabinetnya mempunyai tiga orang ahli Pesaka termasuk beliau sendiri, dua ahli Barjasa termasuk Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud dan seorang ahli PANAS. PANAS menyertai semula perikatan hanya sebelum pengyingkiran Kalong Ningkan.

Sarawak mencapai satu lagi kemajuan dalam politik apabila Barjasa dan PANAS bercantum membentuk Parti Bumiputera pada Mac 1968. Abdul Taib menjadi penggerak utama ke arah percantuman itu.

Parti Bumiputera diketuai oleh Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Abang Ikhwan Zaini dengan Datuk Taib memegang jawatan Setiausaha Agung.

Kekuatan parti dan perpaduan terus diperkukuh apabila Parti Bumiputera dan Pesaka bercantum melahirkan PBB pada 30 April 1973.

Tun Jugah yang pada ketika itu selaku Menteri Hal Ehwal Sarawak telah dilantik sebagai Presiden pertama PBB.

Abdul Taib memegang jawatan Presiden PBB secara automatik apabila memenangi jawatan Presiden tanpa bertanding pada 1981.

Kewujudan parti itu sebagai satu komponen terbesar dalam BN negeri telah mengukuhkan lagi kedudukan Bumiputera.

Sejak penubuhannya, keahlian PBB telah meningkat dengan banyaknya sehingga kini dalam 56 Bahagian, ahli-ahli telah menjangkau 300,000 orang dengan lebih 1,000 cawangan di seluruh negeri. Ia disokong penuh oleh kaum Bumiputera terutama golongan Melayu-Melanau, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.


Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget