NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dua aliran perkembangan politik menanti negara


Hari Raya Aidilfitri dan sebulan Ramadan sudah berlalu. Banyak proses yang tidak berjalan licin kerana bulan puasa serta suasana menjelang hari raya kini sudah boleh dilaksanakan. Boleh dikatakan sepanjang bulan depan ini fasa kedua 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Seratus hari seperti mana diungkapkan dalam janji pilihan raya PH boleh dibahagi kepada 3 fasa dengan mengambil kira tempoh itu meliputi 3 bulan. Maknanya 1 fasa mengambil masa 1 bulan.

Jadi fasa pertama kerajaan PH sudah berlalu. Ia meliputi penubuhan kerajaan dan pelantikan menteri-menteri utama. Proses pembersihan kerajaan khususnya berhubung skandal 1MDB sudah dimulakan. Pelaksanaan janji 100 hari PH yang paling penting ialah menurunkan kadar GST kepada 0% dan penetapan hala tuju ekonomi negara.

Maka kini kerajaan PH memasuki fasa ke-2 pentadbiran 100 harinya. Ia akan meneruskan apa yang perlu diselesaikan tetapi paling penting ialah pelantikan penuh Kabinet menteri supaya perjalanan kerajaan meliputi keseluruhan pentadbiran negara dapat dilaksanakan. Pada fasa kedua ini juga sidang Parlimen akan bermula dan kerajaan akan menghadapi pihak pembangkang di Dewan Rakyat.

Dalam proses politik, 2 aliran perkembangan pasti berlaku iaitu di pihak kerajaan dan pembangkang. Pihak kerajaan yang tentunya sibuk dengan pentadbiran negara juga tidak terlepas dengan proses politik di dalamnya. Namun proses yang pasti turut menarik perhatian rakyat ialah perkembangan politik pembangkang. Buat masa ini di Malaysia, pembangkang utama terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan parti-parti yang tidak menyokong PH di Sarawak dan Sabah.

Akan tetapi perhatian utama pada BN dengan persoalan sama ada ia boleh bangkit semula dan kembali untuk memenangi pilihan raya umum atau sekurang-kurangnya menjadi parti pembangkang yang berkesan dan membina.

Dalam sebulan lalu, BN menerima tamparan keras sejak kehilangan kuasa pada 9 Mei lalu. Pengerusi Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai presiden Umno maka jawatan itu kini dipangku Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

BN yang memasuki pilihan raya umum ke-14 dengan 13 parti komponen kini hanya disertai oleh 4 parti iaitu Umno, MCA, MIC dan Gerakan. Sebarang kebangkitan semula BN bergantung pada keadaan Umno, sementara hala tuju Umno pula sedang menanti kepimpinan baru yang akan diputuskan dalam perhimpunan agung yang turut melibatkan pemilihan parti.

Maka siapakah yang akan menerajui Umno menjadi perhatian rakyat. Setakat ini dilaporkan terdapat 7 bakal calon yang akan bertanding tetapi perhatian tertumpu kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan Zahid sendiri. Banyak kalangan Umno yang meletak harapan pada Tengku Razaleigh untuk memulihkan parti. Sebagai tokoh veteran yang berwibawa, beliau dilihat sebagai satu-satunya tokoh yang mampu memberi saingan kepada Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir pula menyatakan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin paling layak menjadi presiden Umno. Tetapi bagi Khairy, pernyataan Dr Mahathir itu hanyalah suatu perli. Sememangnya bukan hal beliau sebagai pemimpin kepada parti pesaing untuk memberi ulasan terhadap pemilihan kepimpinan Umno walaupun Dr Mahathir pernah menyandang jawatan itu.

Sementara menunggu pemimpin baru Umno, apa yang dilihat ialah sebahagian laskar siber BN dikesan sudah mula aktif menentang PH. Begitu juga media arus perdana yang tetap dimiliki oleh Umno.

Sebaik saja selepas keputusan pilihan raya umum lalu diumumkan, laskar-laskar siber ini dan juga media Umno dikesan menghentikan aktiviti menyerang. Tetapi setelah 3 hari saja, selepas pertemuan dengan pimpinan Umno, mereka dikesan aktif semula. Garis aktiviti laskar-laskar siber ini meberi tumpuan kepada soal kaum Melayu dan agama Islam.

Mereka menekankan hakikat kebanyakan pengundi Melayu tidak menyokong PH. Kempen juga dibuat seolah-olah kedudukan institusi-institusi berkait dengan orang Melayu dan agama Islam terancam di bawah kekuasaan PH. Malah kepentingan orang Melayu sendiri digambarkan bakal terpinggir dengan dasar-dasar kerajaan PH.

Jadi umumnya dapat dilihat ada penyokong BN melihat kemenangan PH dari sudut perkauman. Gabungan ini dilihat menang atas sokongan padu kaum Cina dan India dengan perpecahan orang Melayu kepada 3 iaitu BN, PH dan PAS.

Maka untuk BN kembali berkuasa, mereka berstrategi supaya ia mendapatkan semula sokongan lebih banyak orang Melayu. Mereka berhujah supaya orang Melayu bersatu di bawah Umno untuk mempertahankan kepentingan kaum ini. Apabila kebanyakan orang Melayu menyokong Umno dan parti itu menjadi kuat, dengan sendirinya kaum Cina, India, Sarawak dan Sabah akan menerima kepimpinan BN. Jika Umno kuat, parti-parti Sarawak dan Sabah akan kembali pada BN.

Tetapi bagi sebahagian pendokong PH, fikiran seumpama ini merupakan perkiraan lama yang diamalkan oleh Umno sejak BN ditubuhkan pada 1974.

Bagi mereka, kini pertimbangan politik Malaysia sudah berubah dan berbeza dengan perkiraan perkauman sudah kurang relevan. Ini kerana selama 60 tahun pentadbiran pimpinan Umno berlandaskan perkiraan kaum akhirnya menggalakkan amalan korupsi, nepotisme, kronisme dan mediokriti dalam masyarakat.

Sebab itu, sebahagian pendokong PH berhujah supaya lebih banyak lagi orang Melayu beralih daripada BN untuk menyokong PH. Ini kerana dengan lebih banyak orang Melayu menyokong PH akan mengukuhkan kedudukan mereka dalam gabungan parti itu.

Kalau diseru orang Melayu bersatu maksudnya bagi pendokong PH bersatu bawah parti-parti mereka khususnya PBBM, PKR dan Amanah. Dengan sokongan lebih besar orang Melayu pada PH, kedudukan parti itu lebih kuat bukan saja di pusat tetapi juga negeri. Buat masa ini kedudukan kerajaan PH di Kedah dan Perak lemah kerana orang Melayu tidak padu menyokong mereka.

Namun banyak orang Melayu terutama generasi muda di bandar, perkiraan dari sudut perkauman sudah tidak menarik mereka. Bagi mereka, perkiraannya adalah kebersihan, kecekapan dan amanah dalam mentadbir. Maknanya politik tidak lagi berdiri di atas soal kaum dan agama tetapi lebih kepada urus tadbir tanpa korupsi, kemampuan menyelesaikan masalah dan berwawasan terhadap cabaran-cabaran yang dihadapi oleh rakyat pada masa akan datang.

Bagi mereka, kemenangan PH tempoh hari pemecahan tembok amalan lama politik cara Umno yang sudah tidak relevan. Apa yang perlu adalah berpandangan dan bergerak ke depan. Untuk itu tidak ada lagi masa dan ruang untuk rakyat mengambil perhatian terhadap Umno dan BN.

Perubahan pucuk pimpinan Umno serta persoalan sama ada MCA, MIC dan Gerakan perlu terus berada dalam BN tidak menjadi perhatian mereka. Walaupun mereka pendokong proses demokrasi yang lengkap dengan kehadiran pembangkang tetapi mereka tidak mengharapkan BN dapat memainkan peranan ini.

Peranan sebagai pembangkang baik wajar datang bukan dari parti-parti lama seperti BN dan PAS tetapi gerakan lain seperti dari golongan kiri, masyarakat sivil, para netizen dan "backbencher" PH sendiri. Gerakan ini dilihat boleh berperanan sebagai pembangkang yang berkesan dan membina.

Ketika mana apa yang BN tawarkan dapat dijangka, seperti apa selama 60 tahun mereka lakukan, iaitu sesuatu yang sudah tidak menarik bagi generasi baru, apa yang akan dibawa oleh PH pula masih tidak dapat dijangka.

Sebab itu kerajaan PH sedang melalui fasa kritikal yang mana ia sedang membentuk suatu keadaan baru negara. Walaupun terdapat banyak pernyataan mengenai apa yang hendak dibina itu tetapi hanya proses politik realiti yang akan menentukan bentuk akhir negara di bawah PH.

Sementara para pendokong PH pula berasakan tumpuan bentuk negara ini lebih penting untuk ditentukan berbanding dengan keinginan untuk melihat kebangkitan semula BN.

Pelbagai fahaman dalam setiap parti PH bersama suara-suara penyokongnya dalam kalangan bukan politik, ditambah pula reaksi daripada rakyat khususnya yang disampaikan oleh warga Internet di alam maya, kelihatan sedang berlumba-lumba untuk mempengaruhi kerajaan PH supaya aliran pemikiran mereka dapat diterima.

Apabila identiti serta dasar kerajaan PH semakin mantap, dan Umno pula menyambutnya dengan respons dan reaksi yang boleh menyahut aspirasi rakyat, maka Malaysia akan bergerak pada keadaan yang jauh berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini. Apa hal pun, Malaysia tidak akan berundur ke belakang.

Sumber: http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2018/06/19/dua-aliran-perkembangan-politik-menanti-negara/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo